RUU Anti Lompat Parti perlu diteliti lebih mendalam: Pas

Takiyuddin (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada ADUN Tanjong Mas, Rohani Ibrahim sempena Bakul Makanan Bulan Ramadan pada Hari Keluarga Malaysia Peringkat Parlimen Kota Bharu, pada Ahad.
Takiyuddin (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada ADUN Tanjong Mas, Rohani Ibrahim sempena Bakul Makanan Bulan Ramadan pada Hari Keluarga Malaysia Peringkat Parlimen Kota Bharu, pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Usul Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti di Parlimen perlu diteliti dengan lebih mendalam bagi mengelak timbulnya isu pada masa hadapan berkaitan peraturan tersebut.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, hal ini kerana masih banyak perkara yang perlu dibincangkan termasuklah definisi lompat parti yang masih belum jelas.

"Adakah ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bebas itu dianggap sebagai ahli parti, contohnya apabila dia masuk satu-satu parti lain, adakah itu melompat parti?

"Pandangan saya, Menteri Undang-Undang yang bawa isu ini perlu mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak supaya perkara itu jelas," katanya selepas merasmikan Hari Keluarga Malaysia Peringkat Parlimen Kota Bharu di sini, pada Ahad.

Menurutnya, sekiranya perkara tersebut menjadi undang-undang kelak ia tidak akan mengelirukan.

Beliau berkata, pada tahun 1990-an, Kelantan merupakan negeri pertama yang membuat pindaan Perlembagaan Negeri berkaitan Anti Lompat Parti.

Takiyuddin berkata, perkara itu merujuk kepada ADUN yang melompat parti dianggap telah melanggar undang-undang dan perlu mengosongkan kerusi dimenangi mereka.

"Tetapi Mahkamah Persekutuan mengatakan undang-udang seumpama itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Hal ini perkara itu dikatakan bercanggah dengan kebebasan untuk berpesatuan.

Artikel Berkaitan:

"Atas dasar itu pindaan Perlembagaan perlu dilaksanakan supaya negeri-negeri dapat berbuat demikian berkait Anti Lompat Parti melibatkan ADUN," katanya.

Menurutnya, Dewan Rakyat hanya berkuasa ke atas Ahli Parlimen sahaja.

Sinar Harian pada 24 Mac lalu melaporkan Pembentangan RUU Anti Lompat Parti akan diadakan pada 11 April ini dalam satu sidang khas Parlimen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, perkara itu telah dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Ketua Majlis Parlimen berdasarkan Peraturan Mesyuarat 11(3) dan juga Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.