Harga juadah bazar Ramadan di Terengganu dijangka naik

Mohd Nurkhuzaini
Mohd Nurkhuzaini
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Harga jualan juadah di bazar Ramadan di Terengganu dijangka meningkat berdasarkan situasi semasa ekonomi dunia yang tidak menentu.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, situasi itu tidak dapat dielak sekiranya harga bahan mentah terus melambung ekoran krisis peperangan antara Rusia dan Ukraine.

"Kita tidak nafikan akan berlaku kenaikan harga bagi barangan itu sekiranya krisis antara Rusia dan Ukraine terus berlarutan. Jika peperangan berpanjangan, peningkatan harga barang sudah tentu tidak dapat dielakkan.

"Ini kerana, Rusia dan Ukraine adalah pengeluar gandum terbesar dunia dan sudah tentu situasi itu memberi impak kepada peniaga yang bergantung kepada bahan itu," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Usahawan Terengganu (Kuat) di Dataran Jambatan Angkat pada Ahad.

Justeru, Mohd Nurkhuzaini berharap peniaga tidak menaikkan harga juadah secara keterlaluan manakala pengguna dinasihati segera membuat laporan jika berdepan kenaikan harga tidak masuk akal.

"Bahagian penguat kuasa melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu akan segera bertindak berdasarkan maklumat tepat yang disalurkan.

"Kita juga akan sentiasa menggiatkan pemantauan supaya tidak terdapat unsur-unsur pencatutan," katanya.

Artikel Berkaitan: