PDRM guna unit berkuda tingkat rondaan sempadan Malaysia-Thailand

Hazani (dua dari kanan) merasmikan Majlis Reunion Bersama Pesara Pasukan Polis Hutan di Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA), Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada Ahad.
Hazani (dua dari kanan) merasmikan Majlis Reunion Bersama Pesara Pasukan Polis Hutan di Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA), Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mempertingkatkan rondaan menggunakan unit berkuda di kawasan utara tanah air selepas kerajaan bersetuju untuk membuka dua pintu sempadan Malaysia-Thailand di Kedah dan Perlis pada 1 April ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, rondaan unit berkuda dari Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) telah digerakkan ke kawasan itu sejak Januari lalu dan ia merupakan salah satu usaha memastikan sempadan negara terus diperketatkan bagi membendung aktiviti jenayah terutama penyeludupan.

"Untuk maklumat unit berkuda akan mula digerakkan ke sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan bermula pada 1 April untuk melakukan rondaan di kawasan darat," katanya selepas merasmikan Majlis Reunion Bersama Pesara Pasukan Polis Hutan di Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA), Pengkalan Chepa di sini pada Ahad.

Menurutnya, sebanyak lapan ekor kuda akan ditempatkan di negeri ini bagi membantu penugasan kawalan sempadan menerusi Op Wawasan.

Beliau berkata, sehingga kini PDRM mempunyai 40 ekor kuda di bawah kendalian FRU untuk melaksanakan pelbagai tugasan dan akan menambah 60 ekor kuda lagi dalam usaha memantapkan lagi unit berkenaan.

"Pasukan panel ketika ini sudah berada di Argentina untuk mengenalpasti kuda-kuda terbaik untuk diletakkan di bawah unit tersebut dan kerajaan sudah memberi kelulusan untuk membawa masuk kuda-kuda berkenaan ke negara ini.

"Saya akan pelbagaikan lagi peranan unit ini dalam membuat rondaan di sempadan negara dan cegah jenayah lain," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hazani berkata, PDRM juga akan menggunakan peralatan canggih dilengkapi dengan ciri-ciri kepintaran buatan (AI) untuk membuat rondaan di sempadan.

Artikel Berkaitan:

“Penggunaan dron akan turut digerakkan bagi membuat pemantauan dari udara bagi mengesan aktiviti jenayah sempadan seterusnya melakukan serbuan," katanya.