Fahmi Zainol umum tanding calon Ketua AMK

Fahmi (dua dari kanan) mengumumkan barisan pasukannya yang akan bertanding dalam pemilihan AMK PKR pada tahun ini di ibu negara pada Ahad.
Fahmi (dua dari kanan) mengumumkan barisan pasukannya yang akan bertanding dalam pemilihan AMK PKR pada tahun ini di ibu negara pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas aktivis mahasiswa, Fahmi Zainol mengumumkan akan bertanding jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tahun ini.

Fahmi yang merupakan Ketua AMK Pulau Pinang turut mengumumkan barisan pasukannya dan memaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat akan bertanding sebagai Timbalan Ketua AMK.

Menurutnya, untuk jawatan naib ketua, ia akan ditandingi oleh Timbalan Ketua AMK Shah Alam, Muhammad Izuan Kasim dan bekas calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, B Prasant Kumar.

“Kerencaman pertelingkahan politik semasa dan politik dalaman telah menimbulkan pelbagai persepsi tidak baik buat golongan anak muda.

“Justeru, kami ingin mengambil inisiatif untuk meliterasikan dan mengubah pemikiran anak muda dalam kancah politik Malaysia.

“Saya yakin pemilihan kali ini dilihat lebih bersih dan adil, tiada politik ugut-mengugut, tiada kekerasan, sistem yang lebih telus dan tidak memihak kepada sesetengah kelompok,” katanya dalam satu sidang media di sini pada Ahad.

Fahmi menambah, tiga dasar utama yang akan dibawa oleh pasukannya adalah untuk meraih sokongan golongan muda khususnya kelompok pengundi 18 tahun sehingga 21 tahun dan pengundi kali pertama.

Katanya, dasar kedua adalah untuk meningkatkan penyertaan golongan muda dan AMK dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Artikel Berkaitan:

“Situasi semasa memerlukan anak muda diketengahkan sebagai calon dalam PRU disebabkan penambahan pengundi muda yang ketara membuktikan bahawa calon muda perlu dipertingkatkan.

“Selain meningkatkan jumlah anak muda, sudah sampai masanya anak muda perlu menerajui gerak kerja pilihan raya di setiap DUN dan Parlimen, bukan sekadar memacak bendera dan menyusun strategi,” ujarnya.

Menurut Fahmi dasar ketiga pula adalah pasukannya mahu memperkukuh dan memperkasakan AMK Malaysia.

“Pada sesi kali ini, kami akan fokus kepada autonomi, pendidikan politik, ekonomi dan kebajikan yang menatijahkan kepada usaha mewujudkan pelantar dan platform yang pelbagai sebagai salah satu strategi ampuh memantapkan pengkaderan sistematik bagi terus memperkukuh dan memperkasakan AMK Malaysia,” katanya.

Mengulas mengenai desas-desus seorang lagi aktivis mahasiswa iaitu Adam Adli akan bertanding sebagai calon Ketua AMK, Fahmi mengalu-alukannya untuk bertanding dalam jawatan berkenaan.

“Saya membuka ruang dan mengucapkan selamat datang kepada Adam Adli ke gelanggang demokrasi yang sihat dan baik.

“Saya dengan dia sebagai adik dan abang. Dahulu sama-sama terlibat dalam pentas dan aktivis mahasiswa. Kini kami bersama pula dalam PKR.

“Saya raikan kehadirannya dan ini persaingan yang sihat tanpa ada kekecohan dan keburukan yang berlaku,” jelasnya.