Dadah: Lapan penjawat awam tunggu keputusan KDN

Ayob Khan ketika sidang akhbar di IPK Selangor, pada Ahad. - Foto Mohd Halim Abdul Wahid
Ayob Khan ketika sidang akhbar di IPK Selangor, pada Ahad. - Foto Mohd Halim Abdul Wahid
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menunggu keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkenaan status tindakan terhadap lapan penjawat awam yang diberkas pada 6 Mac lalu selepas disyaki bersekongkol dengan sindiket pengedaran dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, lapan penjawat awam itu kini ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya ( ADB) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

"Kita akan siapkan fail kes untuk dihantar ke KDN dan ada tiga kemungkinan sama ada mereka akan dikenakan perintah tahanan, perintah sekatan atau dibebaskan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Ahad.

Bagaimanapun katanya, polis berpuas hati dengan maklumat dan siasatan yang dilakukan.

Ayob Khan turut memberitahu, setakat ini tiada tangkapan baharu penjawat awam membabitkan sindiket terbabit

Tegas beliau, polis tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana jabatan atau penjawat awam yang terlibat dengan kegiatan dadah.

Mengulas mengenai seorang lagi penjawat awam yang ditahan, Ayob Khan berkata, suspek itu dituduh bersama seorang nelayan.

Artikel Berkaitan:

Ayob Khan dalam sidang akhbar di Bukit Aman pada 15 Mac lalu berkata, seramai sembilan penjawat awam dan seorang nelayan disyaki bersekongkol dengan sindiket pengedaran dadah diberkas di Putrajaya dan Johor Bahru pada 6 Mac lalu dengan rampasan dadah jenis syabu seberat 5.3 kilogram yang dianggarkan bernilai RM193,590.

Dadah yang dirampas itu cuba diseludup sindiket lain yang bergerak aktif di Banting untuk pasaran di Dumai, Indonesia.

Kesemua penjawat awam itu bertugas di sebuah agensi penguat kuasa di Putrajaya.