Kanak-kanak 3 tahun derita hidrosefalus

Rombongan KRT Kuala Pertang melawat Alisha Dhia Zara yang terlantar sejak awal Januari lalu.
A
A

KUALA KRAI - Seorang kanak-kanak dari Kuala Pertang hanya sempat mendaftar di taska sehari sebelum terlantar akibat masalah cecair dalam kepala (hidrosefalus) awal Januari lalu.

Ibunya, Zarina Ibrahim, 43, berkata, anak bongsunya, Alisha Dhia Zara Kasmuri, 3, dilahirkan normal, namun kehidupannya mula berubah ketika berusia 2 tahun apabila selera makannya mula berkurangan, kerap mengantuk, selain badannya menjadi lemah.

"Selepas itu anak juga kerap muntah dan hilang selera makan. Dia kemudian dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian. Selepas itu keadaannya makin pulih," katanya ketika menerima kunjungan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kuala Pertang bersama Pengerusi Jawatankuasa Permuafakatan KRT Kuala Krai, Zon 1, Salema Sapie, petang kelmarin.

Zarina berkata, awal tahun ini sekali lagi dia sekeluarga dikejutkan dengan simptom sama pada anak bongsunya.

Katanya, anaknya tiba-tiba menjadi lemah dan tidak boleh berjalan menyebabkan dia sekali lagi menerima rawatan di HUSM Kubang Kerian selama lebih dua bulan.

"Sejak dibenarkan pulang dari hospital, saya menumpang di rumah ibu bagi membolehkan Alisha Dhia Zara ditempatkan di bilik khas seperti saranan doktor," katanya.

Zarina menerima sumbangan daripada KRT Kuala Pertang.
Zarina menerima sumbangan daripada KRT Kuala Pertang.

Menurutnya, dia juga terpaksa melupakan pekerjaannya di ladang kerana perlu memberi sepenuh perhatian kepada anaknya itu.

"Jadi sekarang hanya suami, Kasmuri Ahmad yang bekerja kilang untuk menyara kami sekeluarga dengan pendapatan bersih sekitar RM500 sebulan," katanya yang mempunyai seorang lagi anak, Muhammad Shahmin Haikal, 15.

Zarina berkata, Alisha Dhia Zara juga bergantung sepenuhnya dengan susu khas, namun harga susu tersebut mahal yang mana satu tin kecil berharga RM44 hanya mampu bertahan beberapa hari.

Katanya, bagi memastikan keselesaan anaknya, doktor turut menyarankan dia menyediakan katil khas dan penyedut kahak.

"Kami bersyukur dapat pinjam mesin kahak dari hospital tetapi

katil kami tidak dapat sediakan kerana tidak mampu," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh salurkan sumbangan ke akaun Maybank milik Zarina Ibrahim bernombor 153029352779.