Prestasi Exco Johor dijangka jadi contoh generasi kepimpinan baharu

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (tengah) bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor. - Foto Bernama
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (tengah) bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor. - Foto Bernama
A
A
A

PELANTIKAN muka baharu dalam kalangan 10 Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) Johor dijangka menjadi contoh generasi kepimpinan baharu dalam pembangunan negeri.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan, kerajaan Johor telah menampilkan 100 peratus muka baharu bagi semua jawatan untuk 10 Exco bagi penggal 2022 hingga 2026.

Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, sebanyak 70 peratus adalah terdiri dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) muda.

Ujarnya, barisan Exco yang dilantik itu berupaya menggalas tugas dan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh amanah, dedikasi dan integriti sepanjang tempoh lima tahun yang akan datang.

Semestinya ia suatu perkembangan baharu dalam kerajaan negeri dan bakal menjadi topik perbincangan oleh ahli-ahli politik serta rakyat Johor.

Rakyat sudah pasti menantikan 'persembahan' prestasi yang bakal diperlihatkan oleh gabungan barisan pemimpin itu.

Corak kepimpinan yang akan ditunjukkan oleh barisan pada kali ini, sudah tentu akan dinilai oleh rakyat, memandangkan rakyat telah jemu melihat trend yang dimainkan oleh politik lama.

Penganalisis politik, Profesor Madya Dr Azmi Hassan berpendapat bahawa barisan pelantikan itu mampu membawa lebih banyak pembaharuan dan memenuhi aspirasi diidamkan oleh rakyat Johor pada masa depan.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, selain daripada penampilan baharu dan muda, satu lagi gambaran terbaik kepada barisan Exco berkenaan ialah bersih.

Pada 16 Mac, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah agar semua calon Exco perlu membuat pengisytiharan harta dan semakan latar belakang yang menyeluruh dengan polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ia menunjukkan bahawa kriteria pemilihan Exco yang berpaksikan aspek integriti dan bebas rasuah amat ditekankan bukan sahaja oleh pimpinan kerajaan malah juga pada rakyat.