'Tumpu krisis air berbanding projek mega di Kedah'

Paparan skrin laporan Sinar Harian, Selasa lalu. (Gambar kecil: Nazar)
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan seharusnya mengutamakan projek menaik taraf Loji Rawatan Air berbanding projek mega yang diumumkan kerajaan Persekutuan untuk Kedah.

Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Kedah, Nazar Ahmad Md Noor berkata, ini termasuk menggantikan paip air yang usang sepanjang 12,000 kilometer yang dianggarkan berusia lebih setengah abad.

Menurutnya, tumpuan wajar diberikan kepada usaha menangani krisis bekalan air yang dihadapi di negeri ini, kerana ia lebih diperlukan rakyat Kedah.

“Jika benar kerajaan Persekutuan mahu bantu Kedah, projek yang perlu diberi keutamaan ialah menaik taraf Loji Rawatan Air yang sebelum ini telah dinyatakan komitmen oleh kerajaan BN dengan nilai RM 980 juta,” katanya.

Nazar berkata, tumpuan juga harus diberikan kepada 62,000 keluarga petani termasuk penoreh dan nelayan yang terbeban dengan ekonomi semasa, akibat kenaikan kos sara hidup.

“Kad Insentif Darul Aman (KIDA) hanya membolehkan sebahagian kecil isi rumah miskin beroleh manfaat dengan membeli barangan asas, namun ia tidak dapat menyelesaikan isu teras dihadapi masyarakat,” katanya.

Menurutnya, penyelesaian jangka pendek itu dibimbangi dibayangi elemen politik di mana penerima skim dipilih kalangan penyokong PH sahaja.

Nazar turut meragui pengumuman membabitkan peruntukan RM3.2 bilion bagi pelbagai projek dan pembangunan yang diumumkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Bagaimana Kerajaan Pusat memiliki begitu banyak wang sedangkan sebelum ini diuar-uarkan negara mempunyai beban hutang tinggi. Apakah janji yang dibuat ini, sekadar janji politik yang tidak ditunaikan, sekadar meredakan amarah rakyat yang terkesan dengan dasar PH yang tidak cakna masyarakat,” katanya, sinis.

Menurutnya, pihaknya turut mempersoal pengumuman semula projek gajah putih seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), Perpustakaan Digital dan beberapa projek lain yang disifatkan tidak mengutamakan keperluan rakyat Kedah.

Kelmarin, sebanyak tujuh projek bernilai RM3.2 bilion akan dilaksanakan di negeri ini bagi menarik pelaburan selain menjana pendapatan kerajaan negeri, serta mewujudkan peluang pekerjaan baharu.

ARTIKEL BERKAITAN Tujuh projek mega di Kedah libat kos lebih RM3.2 bilion


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia