Kerajaan pastikan PKS terus berkembang: PM

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan memberikan perhatian serius bagi memastikan sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dapat terus berkembang bukan sahaja di Malaysia malah ke pasaran serantau.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKS amat penting kepada pembangunan negara kerana ia menyediakan lebih lapan juta peluang pekerjaan untuk Keluarga Malaysia.

Beliau berkata, dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kerajaan meletakkan sasaran sebanyak 45 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada 2025 disumbangkan oleh PKS.

"Sasaran ini adalah realistik kerana sebanyak 39 peratus KDNK negara pada 2019 disumbangkan oleh PKS sebelum ia terjejas akibat pandemik Covid-19 sejak dua tahun lepas dan terbaharu akibat banjir pada penghujung tahun lalu.

"Bagaimanapun, kerajaan telah mengambil pelbagai langkah untuk memastikan PKS termasuk usahawan mikro dan informal dapat meneruskan perniagaan mereka,” katanya pada majlis perasmian Hari Usahawan Negara (HUN) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada malam Sabtu.

Perdana Menteri berkata, kerajaan berusaha memastikan usahawan Keluarga Malaysia dapat mengembangkan perniagaan dan perusahaan antaranya melalui program Semarak Niaga dengan dana berbilion ringgit untuk membantu mereka memperoleh pembiayaan bagi meluaskan perniagaan.

Selain itu, Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro Tekun Nasional menawarkan pinjaman sehingga RM10,000 tanpa faedah dan keutamaan diberi kepada peniaga sektor informal dengan saiz dana untuk program ini sahaja berjumlah RM200 juta.

"Agrobank pula menawarkan pinjaman sehingga RM75,000 tanpa faedah berserta kemudahan moratorium selama enam bulan.

Artikel Berkaitan:

"SME Bank menawarkan pinjaman sehingga RM10 juta di bawah skim IBS Promotion Fund 2.0 dan RM1 juta di bawah Program Pembiayaan Usahawan Muda 2.0. Secara kolektif, saiz dana untuk kedua-dua skim ini berjumlah RM300 juta,” katanya.

Ismail Sabri berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, yang merupakan nadi kepada usahawan, memainkan peranan besar untuk memastikan semua inisiatif kerajaan dapat membantu golongan itu.

Perdana Menteri berharap, usahawan menguasai teknologi baharu khususnya pendigitalan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dan ia juga membantu produk luar bandar menembusi pasaran lebih luas.

Bagi mencapai hasrat itu, beliau berkata, kerjasama strategik antara usahawan dengan agensi kerajaan perlu dieratkan supaya setiap inisiatif dapat dilaksanakan.

Pada masa sama, Ismail Sabri juga berharap, usahawan di bawah naungan Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM) terus berusaha dan memberi komitmen dalam bidang perniagaan untuk terus maju.

Beliau berkata, ini kerana golongan usahawan mempunyai peranan yang sangat besar untuk memastikan negara terus makmur dengan ekonomi berkembang lebih pantas.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar dan Pengerusi HUN Datuk Seri Abu Hasan Mohd Nor.

HUN 2022 dianjurkan buat julung kali oleh DPUKM dan berlangsung dari 24 hingga 28 Mac. - Bernama