Padah lupa padam bara kemenyan

Arlanto menunjukkan kesan kebakaran bilik sembahyang di rumah berkenaan.
Arlanto menunjukkan kesan kebakaran bilik sembahyang di rumah berkenaan.
A
A
A

SABAK BERNAM - Akibat terlupa memadam bara kemenyan di bilik sembahyang, sebuah rumah nyaris rentung di Taman Seri, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.50 malam itu, pemiliknya yang juga kakitangan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) bersama isterinya, S.Veny, 40 dan dua anak mereka berusia lima serta tiga tahun tiada di rumah ketika kejadian.

Mangsa, A Arlanto, 41, berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas dihubungi seorang rakannya memaklumkan kediamannya terbakar.

"Masa dapat tahu rumah terbakar, perasaan saya jadi tak tentu arah dan segera bergegas pulang ke rumah.

"Sejurus tiba, saya nampak ramai dah berkerumun di rumah, manakala beberapa jiran membawa baldi berisi air bagi memadamkan kebakaran," katanya.

Katanya, dia berterima kasih kepada jirannya kerana berusaha mengawal kebakaran daripada terus merebak.

"Nasib baik jiran datang membantu. Saya hargai segala usaha murni mereka menyelamatkan rumah yang didiami sejak lapan tahun lalu," katanya.

Menurutnya, ketika kejadian, dia bersama isteri dan dua anaknya tiada di rumah kerana melakukan upacara sembahyang di sebuah kuil di Jalan Ladang, Sabak Bernam.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar, Pegawai Bomba Kanan II Kamisan Marimin berkata, sepasukan lapan anggota dan pegawai dengan sebuah jentera FRT dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik sampai, didapati asap tebal menyelubungi kawasan rumah mangsa.

"Pasukan kami kemudiannya memadamkan kebakaran kecil pada tempat sembahyang di dalam sebuah bilik rumah berkenaan," katanya.

Katanya, anggota mengambil masa kira-kira 15 minit bagi mengawal kebakaran sebelum operasi tamat pada jam 9.39 malam.

"Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan," katanya.