Kerajaan berhasrat lahirkan pengguna bijak, peniaga beretika

Ismail Sabri (dua, kanan) melawat ruang pameran ketika hadir pada majlis perasmian sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2022 di NU Sentral pada Sabtu. - Foto Bernama
Ismail Sabri (dua, kanan) melawat ruang pameran ketika hadir pada majlis perasmian sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2022 di NU Sentral pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan, melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), berhasrat melahirkan pengguna yang bijak dan berdaya upaya serta peniaga beretika, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Justeru, beliau berkata, pelbagai program kepenggunaan dirangka oleh KPDNHEP bagi memperkasa pengguna terutama dalam aspek literasi kewangan, keputusan membeli dan ganti rugi.

"Saya mengharapkan agar semua pihak dapat menghayati dan mempraktikkan hak-hak anda sebagai seorang pengguna dalam menjalankan urus niaga seharian," katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) 2022 di sini pada Sabtu.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Ismail Sabri turut menasihati pengguna agar jangan mudah terpedaya dengan helah serta penipuan peniaga yang tidak beretika.

Beliau berkata, sehingga akhir bulan lepas, daripada keseluruhan aduan yang diterima oleh kementerian, sebanyak 36.45 peratus atau 24,150 adalah berkaitan transaksi secara dalam talian.

Perdana Menteri berkata, ia berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020 yang menyaksikan perubahan dalam trend pembelian pengguna yang memfokus kepada urus niaga secara dalam talian.

"Ini memberi indikasi bahawa sebilangan besar pengguna menyedari dan memahami hak mereka dengan menyalurkan aduan apabila berlakunya sebarang salah laku oleh peniaga," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata, bagi memperkasa digitalisasi pengguna, kerajaan telah membangunkan aplikasi telefon pintar ezAdu untuk mempelbagaikan platform penyaluran aduan sekali gus memantapkan inisiatif perlindungan pengguna.

Beliau berkata, aplikasi yang dibangunkan pada 2015 itu ditambah baik tahun lepas bagi membolehkan pengadu menyalurkan aduan serta-merta melalui telefon pintar masing-masing.

Dalam pada itu, beliau juga menasihati pengguna yang berurusan secara dalam talian supaya menyemak semua maklumat sebelum menjalankan sebarang urus niaga bagi mengelak daripada ditipu.

Beliau turut menitipkan panduan kepada pengguna, antaranya mendapatkan maklumat dan khidmat nasihat daripada pegawai KPDNHEP sebelum melakukan sebarang urusan pembelian jika berasa waswas atau tidak pasti.

"Pastikan setiap transaksi mempunyai bukti dan dokumen bertulis seperti resit, invois atau perjanjian untuk memudahkan siasatan dan tindakan selanjutnya.

"Dapatkan maklumat mengenai fungsi, peranan kementerian dan operasi yang telah dilaksanakan melalui laman sesawang rasmi, Facebook, Twitter dan risalah sebagai panduan," katanya.

Perdana Menteri berkata, pengguna juga boleh mengemukakan aduan dengan segera menggunakan saluran yang ada jika berasa diri ditipu. - Bernama