KPDNHEP terima 24,150 aduan transaksi dalam talian

Ismail Sabri (dua dari kanan) melawat ruang pameran ketika hadir pada majlis perasmian sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2022 di NU Sentral pada Sabtu. - Foto Bernama
Ismail Sabri (dua dari kanan) melawat ruang pameran ketika hadir pada majlis perasmian sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2022 di NU Sentral pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menerima sebanyak 24,150 aduan berkaitan transaksi dalam talian setakat 28 Februari tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia merangkumi 36.45 peratus berbanding jumlah aduan keseluruhan yang diterima semenjak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada Mac 2020.

"Sejumlah besar aduan ini memberi indikasi bahawa melalui perubahan trend pembelian pengguna secara dalam talian, sebilangan besar pengguna menyedari dan memahami hak mereka dengan menyalurkan aduan kepada kementerian apabila berlakunya sebarang salah laku di pihak peniaga dalam talian," katanya ketika Majlis Perasmian Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) Tahun 2022 di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, HPK tahun ini bertemakan Digitalisasi Pengguna sejajar dengan tema Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia iaitu 'fair digital finance'.

Menurutnya, ia bertujuan menggalakkan semua pihak melaksanakan tanggungjawab sosial bagi meningkatkan kesedaran berhubung digitalisasi pengguna dalam semua peringkat Keluarga Malaysia.

"Penganjuran HPK kali ini memberi penekanan kepada perkembangan dan penggunaan teknologi yang telah mengambil alih kaedah urus niaga yang konvensional.

"Bagi mengurangkan perjumpaan secara fizikal untuk mengekang penularan pandemik Covid-19, penggunaan sistem seperti pembayaran QR, payWave dan pembayaran secara dalam talian juga menjadi pilihan utama untuk mendorong pengguna ke arah pendigitalan yang optimum," jelasnya.

Tambahnya, bagi memperkasakan digitalisasi pengguna, kerajaan telah membangunkan aplikasi telefon pintar, ezAdu untuk mempelbagaikan platform penyaluran aduan sekali gus memantapkan inisiatif perlindungan pengguna.

Artikel Berkaitan:


"Aplikasi yang dibangunkan pada tahun 2015 ini telah ditambah baik bagi membolehkan pengadu menyalurkan aduan serta merta melalui telefon pintar masing-masing," katanya.