Tindakan pembangkang tolak usul Sosma tidak langgar MoU: KJ

Khairy Jamaluddin (kanan) dan Pengarah Bersama Pasukan Pengurusan Projek Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF), Datuk Dr Chong Chee Keong ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran MyCHAMPION peringkat kebangsaan pada Sabtu.
Khairy Jamaluddin (kanan) dan Pengarah Bersama Pasukan Pengurusan Projek Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF), Datuk Dr Chong Chee Keong ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran MyCHAMPION peringkat kebangsaan pada Sabtu.
A
A
A

SEPANG - Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut berpendapat bahawa penolakan ahli Parlimen Pembangkang terhadap usul pindaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) tidak melanggar Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara kerajaan dengan parti pembangkang.

Khairy Jamaluddin berkata, beliau bersama ahli kabinet yang lain telah pun berbincang berhubung isu tersebut pada Jumaat dan mendapati usul yang ditolak itu tidak membatalkan MoU yang telah dimeterai sebelum ini.

Jelasnya, terdapat dua perkara yang tidak boleh disentuh oleh pembangkang dalam MoU berkenaan, antaranya rang undang-undang perbekalan ataupun bajet dan juga usul berkaitan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Semalam (Jumaat) kita (ahli Kabinet) telah bincangkan perkara ini. Melihat semula kepada MoU yang telah ditemerai itu, kita dapati bahawa ini tidak melanggar MoU.

“Kalau undang-undang biasa seperti usul Sosma dan lain-lain saya rasa tidak tertakluk kepada MoU kerana ia tidak bermaksud bahawa sudah hilang kepercayaan terhadap kerajaan.

“Dia (pembangkang) cuma tidak setuju dengan peruntukan kerajaan sahaja, bukan menentang kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran MyCHAMPION Peringkat Kebangsaan, di sini pada Sabtu.

Dewan Rakyat pada Rabu telah menolak usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) selama lima tahun lagi dan mengekalkan tempoh tahanan selama 28 hari.

Usul itu ditolak selepas keputusan undian belah bahagian menunjukkan hanya 85 Ahli Parlimen menyokong, manakala 86 Ahli Parlimen tidak menyokong, selain 49 Ahli Parlimen tidak hadir.

Artikel Berkaitan: