Dua bekas ADUN DAP Sabah sertai Warisan

Mohd Shafie bersama Justin (kiri) dan Calvin (kanan) pada sidang akhbar sempena kemasukan dua ADUN ke Warisan di Ibu Pejabat Warisan, Kolombong, Kota Kinabalu.
Mohd Shafie bersama Justin (kiri) dan Calvin (kanan) pada sidang akhbar sempena kemasukan dua ADUN ke Warisan di Ibu Pejabat Warisan, Kolombong, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Sabah yang keluar parti pada Januari lalu secara rasminya menyertai Parti Warisan (Warisan) pada Sabtu.

Kemasukan ADUN Sri Tanjong, Justin Wong Yung Bin dan ADUN Elopura, Calvin Chong Ket Kiun dalam Warisan diumumkan Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di ibu pejabat Warisan, Kolombong, di sini.

Menurut Mohd Shafie, kemasukan kedua-dua ADUN ke dalam Warisan penting dalam usaha mengukuhkan parti itu di peringkat negeri.

"Hari ini, mereka telah bertemu dengan saya menyatakan keinginan mereka, yang pertama asas dia adalah mereka mahu pastikan mereka masuk ke dalam parti tempatan yang ada dan kedua dalam pilihan raya lalu mereka bertanding menggunakan logo parti Warisan.

"Warisan adalah platform yang betul untuk mereka terus perkukuhkan perjuangan. Supaya hak-hak yang ada di peringkat negeri ini juga diperjuangkan, ini antara sebab penting bagi mereka (memilih) landasan mana yang ada," katanya pada sidang akhbar sempena kemasukan dua ADUN itu.

Mengulas lanjut, bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, keinginan kedua-dua ADUN yang mahu memperjuangkan hak rakyat Sabah antara faktor yang dilihat bagi menyertai Warisan.

"Jadi ini antara yang saya lihat kerana kita bukan kerajaan, kita bukannya parti yang atas landasan bagi tawaran projek, bagi tawaran duit tetapi mereka menyatakan kepada saya keinginan mereka untuk memperjuangkan rakyat Sabah, hak-hak Sabah khususnya.

"Saya berterima kasih kepada kedua-dua ADUN yang sudi dan sanggup menyertai Warisan dan dapat memperkukuhkan perjuangan Warisan di peringkat Sabah khususnya.

Artikel Berkaitan:

"Ini bukan asing kepada kita, ada juga ADUN Bebas di Semenanjung sudah pun menyertai Warisan di Semenanjung, jadi ini satu trend cukup mengalakkan bagi kita untuk memastikan supaya kita dapat memperkuatkan parti Warisan," katanya.

Sementara itu, Calvin kekal dengan pendirian sebagai ADUN yang menyokong parti pembangkang dan ketua pembangkang untuk memperjuangkan hak rakyat.

"Walaupun kita menjadi pembangkang tetapi saya tetapkan untuk terus berkhidmat untuk rakyat, bukan untuk poket saya sendiri.

"Rakyat mahu parti ini, kalau tiada rakyat, saya tidak berdiri di sini. Jadi saya harap di masa hadapan, kita akan bersama-sama sehingga ke hujung. Saya akan terus bekerja untuk rakyat," katanya.

Menurut Justin pula, penyertaannya ke dalam Warisan atas dasar tanggungjawab beliau kepada pengundi untuk memperjuangkan hak-hak Sabah.

"Atas sebab ini, saya percaya orang yang paling layak untuk menerajui hala tuju politik adalah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang terbukti ikhlas dan komited dalam mengembalikan hak Sabah sebagai rakan kongsi Malaysia," katanya.