Tiga pegawai masjid 'automatik' dilantik ahli lembaga pengarah koperasi

Noh (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada wakil masjid pada Majlis Penyampaian Sumbangan masjid dan surau Parlimen Tanjong Karang di IPP Tanjong Karang, pada Jumaat.
Noh (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada wakil masjid pada Majlis Penyampaian Sumbangan masjid dan surau Parlimen Tanjong Karang di IPP Tanjong Karang, pada Jumaat.
A
A
A

TANJONG KARANG - Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) meminda undang-undang kecil dengan mensyaratkan tiga pegawai masjid secara 'automatik' dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Koperasi bagi memperkasa dan membantu menjana ekonomi koperasi kariah masjid secara berterusan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, pendekatan baharu itu dilakukan berdasarkan pengalaman SKM sebelum ini berikutan berlaku pertukaran struktur jawatankuasa di peringkat masjid.

"Misalnya jawatankuasa masjid menubuhkan koperasi, tetapi pada tahun berikutnya jawatankuasa masjid bertukar dan ini menyebabkan hubungan masjid dan koperasi kurang rapat sebab koperasi masjid asalnya ditubuhkan jawatankuasa masjid lama.

"Oleh sebab itu kita meminda undang-undang dengan mensyaratkan mereka yang memegang tiga jawatan penting masjid dilantik secara automatik untuk berada di dalam Lembaga Pengarah Koperasi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sumbangan kepada masjid dan surau Parlimen Tanjong Karang di Institut Pengurusan Peladang (IPP) Tanjong Karang di sini, pada Jumaat.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, kementeriannya menyasarkan untuk menubuhkan 200 koperasi masjid di seluruh negara pada tahun ini.

Beliau berkata, pada masa ini, hanya 462 masjid daripada keseluruhan 6,514 masjid seluruh negara mewujudkan koperasi dengan kadar lapan peratus.

"Selangor sahaja mempunyai 66 koperasi daripada 424 masjid dan kita mahu jumlah itu ditingkatkan di seluruh negara," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, SKM juga turut mengadakan seminar bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pihak Jabatan Agama Islam negeri di Movenpick Sepang, pada 8 Mac lalu.

"Kita mengadakan seminar tentang koperasi masjid dan ia penting bagi memastikan fungsi koperasi ini dalam memperkasa ekonomi umat Islam," ujarnya.