Arab Saudi perkasa sistem pengangkutan

Kerajaan Arab Saudi mengumumkan beberapa inisiatif dan strategi memperkasa sistem pengangkutan sebagai persediaan menerima kedatangan jemaah haji dan umrah menjelang 2030. - Foto AFP
Kerajaan Arab Saudi mengumumkan beberapa inisiatif dan strategi memperkasa sistem pengangkutan sebagai persediaan menerima kedatangan jemaah haji dan umrah menjelang 2030. - Foto AFP
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Arab Saudi mengumumkan beberapa inisiatif dan strategi memperkasa sistem pengangkutan dan khidmat logistiknya sebagai persediaan menerima kedatangan sehingga 30 juta jemaah haji dan umrah setiap tahun menjelang 2030.

Menerusi perkongsian infografik di Twitter pada Jumaat, Kementerian Pengangkutan dan Logistik Arab Saudi menyenaraikan beberapa projek bersasar dalam menyantuni jemaah haji dan umrah, antaranya membangunkan indeks kesalinghubungan antara lapangan terbang domestik dan lapangan terbang utama dunia dengan menawarkan akses ke 250 lagi destinasi penerbangan antarabangsa.

Selain itu, kementerian akan turut memberi tumpuan kepada meningkatkan kapasiti operasi Keretapi Laju ‘Bullet Train’ Al Haramain selain aliran trafik di pelabuhan-pelabuhan domestik.

Sementara itu, Agensi Berita Saudi (SPA) yang memetik kementerian sama melaporkan kerangka strategi pemerkasaan ini telah digariskan Putera Mahkota Arab Saudi, Muhammed Salman dan perinciannya dibentang wakil kementerian semasa Persidangan Antarabangsa Perkhidmatan Haji dan Umrah baru-baru ini.

Menurut SPA, kerajaan Arab Saudi itu kini sedang dalam usaha meningkatkan kapasiti Lebuhraya Madinah-Makkah, antara kemudahan rangkaian jalan raya utama dan paling sibuk yang menghubungkan wilayah Makkah dan Madinah.

"Lebuhraya berukuran sepanjang 397.3 kilometer (km) dan merentasi lebih 33 bandar dan penempatan itu dilengkapi 231 jambatan dan bersambung dengan lebih 20 persimpangan bertingkat”, lapor SPA. - Bernama

Artikel Berkaitan: