Kenyataan berkaitan Statut Rom

A
A
A

BARU-BARU ini Kerajaan Malaysia mengumumkan telah menandatangani Statut Rom dan hal ini mendapat reaksi yang pelbagai daripada rakyat dan NGO. Pelbagai hujah dikemukakan bagi menyokong dan menolak tindakan tersebut. Statut Rom menubuhkan suatu Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang mempunyai bidang kuasa jenayah hanya ke atas empat jenis jenayah iaitu pembunuhan beramai-ramai (genocide), jenayah terhadap kemanusiaan (crimes against humanity), jenayah perang (war crimes) dan jenayah pencerobohan (crimes of aggression).Ia bolehlah disifatkan sebagai perlanggaran hak asasi manusia paling dahsyat sekali seperti pembunuhan etnik Rohingya, pembunuhan di Palestin dan Bosnia.

Menurut Perkara 5 Satut Rom pihak yang terbabit dan bertanggungan dibawa ke ICC termasuklah orang yang melakukan kesalahan tersebut, mereka yang memberi perintah atau arahan serta mereka yang bersubahat melaksanakan salah satu daripada empat kesalahan keji di atas.
Persoalan timbul kerana Yang di-Pertuan Agong juga adalah ketua angkatan tentera seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Jadi katakanlah tentera melakukan genocide adakah Agong juga boleh disabitkan kesalahan di ICC? Jika jawapannya bersifat afirmatif sudah pasti ia bermakna akan mngheret Agong ke muka pengadilan dan bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Statut Rom memperuntukkan panglima tentera bertanggungjawab ke atas tentera di bawah kawalan “efektifnya” jika dia tahu akan perbuatan jenayah tersebut dan tidak mengambil langkah menghalangnya. Selanjutnya tiada kekebalan / imuniti diberi kepada mana-mana ketua negara jika melakukan mana-mana daripada empat kesalahan di atas. Demikianlah timbulnya pandangan Agong akan tertakluk kepada ICC dan ini bercanggah dengan Perlembagaan.

Untuk memahami isu ini, kita perlu menelusuri sejarah Perlembagaan Persekutuan. Apabila perlembagaan ini digubal, raja-raja Melayu mempunyai imuniti total. Ini bermakna raja-raja Melayu tidak boleh didakwa langsung terhadap apa perkara, sama ada atas kapasiti rasmi ataupun peribadi. Konsep ini adalah lazim dan diamalkan juga di negara monarki yang lain.

Walaupun pindaan telah dibuat kepada Perlembagaan Persekutuan pada 1993 di mana Perkara 181 hingga 183 telah dimasukkan di mana imuniti raja-raja Melayu telah dihadkan. Raja-raja Melayu boleh didakwa atas kapasiti peribadinya di Mahkamah Khas selaras dengan Perkara 181 hingga 183 Perlembagaan Persekutuan tersebut. Hal ini bermaksud atas kapasiti peribadi raja-raja Melayu boleh didakwa dan mendakwa, boleh menyaman dan disaman di Mahkamah Khas tersebut.

Oleh itu bolehlah disimpulkan raja-raja Melayu tidak boleh tertakluk kepada mana-mana mahkamah melainkan Mahkamah Khas. Sekiranya baginda tertakluk kepada mana-mana mahkamah lain, maka itu bercanggah dengan Perlembagaan. Namun begitu jenayah yang diadili di ICC hanya terhad kepada empat jenis jenayah yang disebut di atas sahaja dan tidak melibatkan mana-mana jenayah lain. Keempat-empat jenayah tersebut adalah jenayah yang tersangat keji yang tidak mungkin akan dilakukan oleh raja-raja Melayu.

Dalam masa sama raja-raja Melayu khususnya Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai kawalan efektif ke atas ketumbukan tentera di Malaysia walaupun secara ‘ceremonial’ Agong adalah Ketua Turus Angkatan Tentera. Oleh itu kebarangkalian Agong didakwa di ICC adalah sangat asing.

Malah ICC pula adalah mahkamah terakhir (court of the last resort), oleh itu hanya setelah semua tindakan domestik diambil barulah ICC akan berfungsi.

Seperkara lagi yang perlu diberikan perhatian ialah kita mempertahankan institusi raja-raja Melayu kerana ia adalah benteng terakhir untuk menjaga keamanan dan ketenteraman di dalam negara. Dalam masa sama kita tidak seharusnya berkrompomi dengan kekejaman yang dilakukan oleh mana-mana pihak.

Artikel Berkaitan:

Sejujurnya tidak ada dalam jangkauan pemikiran saya baginda raja-raja Melayu akan melakukan mana-mana daripada empat jenayah yang dinyatakan di atas. Adalah sangat nadir dalam lojik akal kita baginda raja-raja Melayu melakukan jenayah kejam tersebut, malah badan ‘semak dan imbang’ dalam negara ini akan secara efektifnya menggagalkan tindakan tersebut jika berlaku.

Setelah menandatangani Statut Rom ini Malaysia boleh membawa mana-mana negara lain yang juga penandatangan statut tersebut ke muka pengadilan di ICC. Keupayaan ini tidak diperoleh jika tidak menjadi penandatangan. Selepas ini Malaysia boleh mengemukakan dakwaan di ICC bagi membawa mana-mana negara penandatangan sekiranya mereka terbabit dengan mana-mana daripada empat jenayah kejam di atas.

Oleh itu saya tidak melihat tindakan kerajaan menandatangani Statut Rom ini tidaklah akan memberi kesan kepada kerangka asas Perlembagaan Persekutuan malah ia memberi sedikit kelebihan kepada negara.

Namun begitu, tindakan kerajaan yang terburu-buru menandantangani Statut Rom ini tanpa berunding dengan raja-raja Melayu adalah tersasar daripada peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Oleh kerana ia memberi kesan kepada raja-raja Melayu seharusnya kerajaan perlu terlebih dahulu berunding dengan raja-raja Melayu bukan sekadar memberi makluman kepada Agong setelah menandatanganinya.

Kegagalan mematuhi prosedur yang dijelaskan dalam Perlembagaan Persekutuan ini mungkin akan memberi kesan terhadap keabsahan tindakan kerajaan walaupun mungkin niatnya adalah baik.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia