Penjaja tarik nafas lega

Foto Bernama (Gambar kecil dari kiri: Redzuan, Nurul Huda)
Foto Bernama (Gambar kecil dari kiri: Redzuan, Nurul Huda)
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pembukaan semula sempadan darat Malaysia-Singapura melibatkan pengembara lengkap status vaksinasi pada 1 April ini diyakini mampu melonjakkan kembali ekonomi khususnya para peniaga jalanan di sekitar bandar raya ini.

Menurut salah seorang peniaga, Redzuan Rahmat, 40, pengumuman berkenaan merupakan perkara paling ditunggu-tunggu memandangkan lebih dua tahun sempadan negara ditutup akibat pandemik Covid-19.

Dia yang juga peniaga pakaian dan jersi sukan memberitahu, selepas berakhir fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) peniaga belum boleh menghela nafas lega kerana perniagaan masih belum berada di tahap selesa.“Sebenarnya bila dah habis PKP ini, kita masih belum senang lagi, banyak peniaga masih susah terutama kami yang berniaga di jalanan. Sebab tempoh sebelum ini agak lama, jadi kita banyak habiskan masa untuk cari semula keuntungan.

“Dalam keadaan sekarang pun, kita hilang kira-kira 70 peratus pendapatan semenjak pandemik, dan sekarang ini kita masih mencari rentak,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Redzuan berkata, pembukaan semula sempadan negara yang bakal menyaksikan sebahagian besar pengunjung dari Singapura akan kembali ke bandar raya ini adalah sesuatu yang bagus.

“Ini perkara yang baik, jika dibuka seperti biasa kita akan lihat keadaan di sini akan semakin sibuk dan pengunjung dari Singapura mula datang.

“Ini bukan perkara baru, memang Johor dan Singapura adalah rapat. Masyarakat kita dan mereka memang selalu membeli-belah di sini, dan jika pembukaan sempadan ini dapat dikekalkan, ia amat membantu ekonomi peniaga-peniaga di sini,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Nurul Huda Abdullah Sani, 36, berpendapat pengunjung dari Singapura mempunyai kuasa beli yang lebih baik sekali gus memberi manfaat kepada peniaga khususnya di bandar raya ini.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, sejak pandemik Covid-19, landskap perniagaan di seluruh negara telah berubah dan cabaran besar yang dialami adalah mencari semula pelanggan-pelanggan.

“Kita kena tahu sejak pandemik ini, kita memang agak susah. Berniaga pun ada had masa dan paling utama kita juga telah kehilangan pelanggan dari Singapura,” katanya.

Dia yang telah berniaga di bandar raya ini sejak 12 tahun lalu turut memaklumkan, pembukaan semula sempadan juga boleh dilihat sebagai penanda aras untuk masyarakat boleh kembali menjalani kehidupan seperti sebelum pandemik.