Itali kembali ke realiti sebenar bola sepak

Reaksi pemain Itali, Ciro Immobile selepas The Azzurri dijinakkan 0-1 kepada pasukan bukan pilihan Macedonia Utara dalam aksi playoff Zon Eropah Kelayakan Piala Dunia 2022 di Palermo. - Foto AFP
Reaksi pemain Itali, Ciro Immobile selepas The Azzurri dijinakkan 0-1 kepada pasukan bukan pilihan Macedonia Utara dalam aksi playoff Zon Eropah Kelayakan Piala Dunia 2022 di Palermo. - Foto AFP
A
A
A

ITALI kembali ke realiti bola sepak sebenar apabila tersingkir buat kali kedua berturut-turut dalam pemburuan slot pusingan akhir Piala Dunia Qatar 2022, selepas lapan bulan menjulang kejuaraan Euro 2020 dan dijulang sebagai wira negara.

Menerusi muka depan surat khabar Corriere dello Sport bertajuk 'Ke Neraka' merumuskan, rasa seram selepas Itali tewas 0-1 kepada pasukan bukan pilihan Macedonia Utara dalam aksi playoff Zon Eropah Kelayakan Piala Dunia 2022 di Palermo, sekali gus menyisihkan peluang ke temasya itu.

Kegagalan itu mengulangi era kegelapan bola sepak The Azzurri empat tahun lalu apabila Itali gagal mara ke kejuaraan bola sepak global buat kali pertama sejak 1958.

Kemenangan anak asuhan Roberto Mancini dalam perlawanan akhir Euro 2020 menentang England di Stadium Wembley Julai lalu, sekali gus dinobatkan sebagai Raja Bola Sepak Eropah tidak menyisihkan pandangan zaman kegelapan akan kembali berulang.

"Ini adalah bencana yang berulang. Rasa malu lebih teruk daripada sebelumnya," tulis Il Messaggero pada Jumaat.

Untuk rekod, Itali memenangi Piala Dunia empat kali, terbaharu pada 2006, bagaimanapun terkeluar dari peringkat kumpulan pada 2010 dan 2014.

"Apa yang boleh saya katakan adalah Itali terlalu bertuah ketika berada di pentas kejuaraan Euro 2020 tahun lalu. Ia menyebabkan kami terpaksa membayarnya...," kata penduduk Rom, Carlo de Marchi.

Sama seperti pada 2018, Itali adalah satu-satunya bekas juara yang tidak mara ke peringkat akhir dan akhbar melihat penyingkiran itu sebagai gambaran masalah yang lebih luas dalam permainan negara.

Artikel Berkaitan: