X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 29 Mei 2022

Matlamat tidak menghalalkan cara

A
A

UNTUK mendapatkan pencerahan secara jelas tentang bagaimana konteks susuk dan pemakaian botoks dalam Islam, Sinar Islam turut mendapatkan pandangan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Mohamad Shukri menjelaskan, Islam menggariskan beberapa panduan dalam pemakaian sesuatu perkara. Seandainya dua-dua bahan itu adalah daripada najis, maka ia adalah dilarang sama sekali.

Selain itu, ujar beliau, jika penggunaan sesuatu itu boleh mendatangkan bahaya dan mudarat, ia juga dilarang.

"Macam botoks yang dikatakan terdedah kepada penyakit seperti barah dan seumpamanya, bermakna kalau ada kemudaratan, maka dilarang," jelasnya.

Seperkara lagi, jelas Mohamad Shukri, elemen lain seperti mempunyai unsur untuk menipu atau memperdayakan orang lain juga perlu dilihat. Jika wujud elemen seperti itu, ia turut ditegah.

"Begini penjelasannya. Katakan seorang penjenayah mengambil suntikan botoks, daripada muka bujur kemudian jadi bulat. Unsur penipuan berlaku di situ, jadi pihak berkuasa sudah tidak boleh mengecam dia, maka itu dilarang.

"Kalau orang sudah tua, kemudian dia eksploitasi diri sendiri sehingga menampakkan dirinya muda tetapi tertipu apabila orang lain yang memandangnya. Itu juga dilarang. Ini termasuk jika kita mendapatkan khidmat bantuan jin bagi tujuan-tujuan tertentu untuk tujuan tidak bagus," jelasnya.

Dalam Islam, Mohamad Shukri menjelaskan, tidak salah untuk menjadi cantik, asalkan cara penggunaan dan matlamatnya adalah baik. Jelas beliau, Islam menetapkan niat, cara dan matlamat perlu selari dalam melakukan sesuatu.

"Maksudnya, niat mesti baik, cara pun betul, matlamat juga betul, jadi hukumnya harus. Namun, kalau niat hendak memperdayakan orang, awal-awal lagi niat sudah salah. Begitu juga kalau niat betul, tetapi cara tidak betul, itu juga dikira salah," katanya.

Meskipun demikian, Mohamad Shukri menegaskan, terdapat kelonggaran tertentu jika tujuannya untuk perubatan semata-mata. Sama kesnya dengan suntikan botoks yang dibenarkan, namun, dengan syarat penggunaannya dalam keadaan darurat dan mengikut keperluan serta dilakukan pakar bertauliah.

Dalam hal ini, beliau mengingatkan kembali kandungan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Kali ke-73 pada Julai 2006.

Dalam muzakarah itu, ujar mufti itu, suntikan botoks (Botulinum Toxin Type A) didapati mengandungi bahan-bahan yang meragukan, najis dan diharamkan. Ia memberi mudarat kepada pengguna bagi jangka pendek serta boleh dimanipulasi untuk tujuan penipuan.

Dari satu sisi, individu yang memakai susuk memang berdosa. Apa pula hukum untuk orang yang memakaikan susuk? Mohamad Shukri menjelaskan: "Ia sama seperti orang yang memakai susuk juga iaitu berdosa. Apa yang kita buat untuk kebaikan kita diberi pahala, kalau kita menunjuk jalan kepada keburukan, kita peroleh dosa."

Ia sebagaimana hadis Nabi SAW: "Sesiapa yang dapat menunjukkan suatu kebaikan (kemudian diikuti dan dilakukan kebaikan tersebut oleh seseorang yang lain) maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang melakukannya." (Riwayat Muslim)

Kepada satu soalan, Mohamad Shukri berkata: "Jika sudah insaf, buanglah susuk itu, ada cara untuk menyelesaikannya."


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!