JPM salur bantuan RM580,000 untuk mangsa kebakaran Tawau

Kebakaran memusnahkan kira-kira 500 rumah setinggan di Jalan Apas Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Tawau pada 17 Mac lalu.
Kebakaran memusnahkan kira-kira 500 rumah setinggan di Jalan Apas Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Tawau pada 17 Mac lalu.
A
A
A

TAWAU - Jabatan Perdana Menteri (JPM) Hal Ehwal Agama pada Jumaat menyalurkan bantuan berjumlah RM580,000 kepada mangsa kebakaran Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, di sini, dengan setiap ketua keluarga menerima RM1,000.

Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, kaedah pengagihan bantuan kepada mangsa kebakaran yang berdaftar akan diuruskan sepenuhnya oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) cawangan Sabah.

"Bantuan ini tidak seberapa nilainya jika dibandingkan dengan kehilangan, kemusnahan harta benda mangsa,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan sumbangan itu di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata, bantuan tersebut adalah daripada Tabung Musa'adah Covid-19 Jakim-Yayasan Waqaf Malaysia bernilai RM116,000 serta RM464,000 daripada Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Turut disampaikan ialah sumbangan persekolahan bernilai RM204,000 daripada Yayasan Taqwa MAIWP untuk para pelajar di Sabah.

Sementara itu, Ahmad Marzuk berkata, kuota haji bagi Malaysia pada tahun ini mungkin berkurangan daripada 30,000 kuota yang biasanya dibenarkan Arab Saudi.

Menurutnya, perkara itu akan diumumkan dalam tempoh terdekat selepas lawatan kerja Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad ke negara itu, yang turut melibatkan perbincangan mengenai kuota haji.

"Namun kita berdoa agar mendapat kuota penuh seperti biasa, apa saja keputusan daripada Arab Saudi kita terima dan yang penting kesihatan dan dipermudahkan urusan," katanya lagi. - Bernama

Artikel Berkaitan: