Gaji minimum: Sesi libat urus bersama pertubuhan majikan bulan depan

Awang Hashim - Foto Bernama
Awang Hashim - Foto Bernama
A
A
A

LABUAN - Kementerian Sumber Manusia akan mengadakan sesi libat urus bersama wakil pertubuhan majikan dan dewan perniagaan berhubung pelaksanaan gaji minimum RM1,500 yang berkuat kuasa 1 Mei ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Awang Hashim berkata, sesi libat urus itu akan diadakan pada bulan depan sebelum pelaksanaannya.

"Gaji minimum baharu itu akan mula dilaksanakan pada Hari Pekerja iaitu 1 Mei ini, dan masih ada masa untuk mengadakan sesi libat urus dengan wakil-wakil pertubuhan majikan.

"Kami akan babitkan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dan dewan perniagaan dalam sesi tersebut,” katanya pada sidang media selepas lawatan rasmi ke hab logistik bersepadu industri minyak dan gas Labuan di Asian Supply Base (ASB) di sini, pada Jumaat.

Beliau yakin kadar gaji minimum RM1,500 dapat dilaksanakan dengan lancar.

"Kita telah menempuh situasi yang tidak pernah kita hadapi sebelum ini seperti pandemik Covid-19, dengan kerajaan berusaha memperkenalkan beberapa pakej rangsangan dan skim bantuan kewangan (skim prihatin) untuk membantu majikan dan pekerja yang terjejas.

"Kerajaan akan bertanggungjawab ke atas pelaksanaan struktur gaji minimum baharu ini, dan tidak akan membenarkan syarikat menghentikan operasi perniagaan mereka berikutan pelaksanaan itu, tetapi kita mesti rasional dengan situasi mereka yang berpendapatan rendah, yang terpaksa berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi,” katanya.

Awang berkata, gaji minimum baharu itu dikenakan ke atas semua sektor termasuk pekerja di firma guaman, arkitek dan klinik swasta.

Artikel Berkaitan:

"Sektor profesional ini mempunyai hasil dan pulangan pelaburan (RoI) yang tinggi, oleh itu tidak wajar jika mereka harus memohon pengecualian daripada pelaksanaan gaji minimum baharu,” katanya.

Menurutnya, kementerian akan melaksanakan secara berperingkat ke atas sektor antaranya seperti pelancongan, pertanian, perkhidmatan dan perladangan selari dengan pelaksanaan gaji minimum baharu itu.

Pada 19 Mac, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kerajaan telah menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 sebulan dan akan dilaksanakan di seluruh negara bagi syarikat-syarikat tertentu berkuat kuasa 1 Mei ini.

Perdana Menteri berkata, gaji minimum baharu akan berkuat kuasa terlebih dahulu membabitkan syarikat besar serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ismail Sabri mengumumkan demikian ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di sini pada 19 Mac lepas. - Foto Bernama