Bina lapan sekolah Tamil: Tunggu saya baca surat Saravanan, kata Maszlee

Maszlee berucap ketika melancarkan Gerakan Massa: 'Terima Kasih Cikgu' Peringkat Kebangsaan Sempena Sambutan Hari Guru ke-48, 2019 tadi.
A
A

GEORGETOWN- Kementerian Pendidikan hanya akan membuat penjelasan mengenai pembinaan lapan sekolah Tamil oleh Kerajaan PH di negeri ini selepas membaca surat Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, beliau belum membaca surat berkenaan dan akan meneliti surat berkenaan malam ini.

"Saya kena lihat surat itu dulu, baru saya boleh beri komen," katanya kepada media tadi selepas melancarkan Gerakan Massa: 'Terima Kasih Cikgu' Peringkat Kebangsaan Sempena Sambutan Hari Guru ke-48, 2019 tadi.

Terdahulu, dalam surat bertarikh 19 Mac, Saravanan telah meminta penjelasan daripada Maszlee berhubung kenyataan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer sebelum ini.

Saravanan menerusi surat itu berkata, Rayer telah memaklumamkan Kerajaan PH telah menubuhkan lapan buah sekolah Tamil di Pulau Pinang menerusi perbahasan usul titah Yang Dipertuan Agong pada 14 Mac lalu.

Sehubungan itu, Saravanan meminta penjelasan dari Kementerian Pendidikan sama ada kenyataan tersebut benar atau sebaliknya.

Sekiranya benar, Saravanan meminta kementerian tersebut menyatakan lokasi dan senarai nama sekolah-sekolah terbabit.

Menurutnya, tuntutan penjelasan itu bagi memastikan Rayer tidak menipu dalam Dewan Rakyat selain mengelirukan rakyat Malaysia dengan kenyataannya itu.