UniSHAMS nafi dakwaan konsultan minta suapan

Laporan Sinar Harian pada Rabu mengenai Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor meminta ADUN Kota Siputeh, Dr Salmee Said membuat laporan kepada SPRM berkaitan dakwaan konsultan sebuah universiti di negeri ini meminta suapan.
Laporan Sinar Harian pada Rabu mengenai Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor meminta ADUN Kota Siputeh, Dr Salmee Said membuat laporan kepada SPRM berkaitan dakwaan konsultan sebuah universiti di negeri ini meminta suapan.
A
A
A

ALOR SETAR - Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) menafikan dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Dr Salmee Said bahawa ada konsultan meminta suapan RM4 juta untuk pembinaan asrama universiti itu.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Pejabat Naib Canselor UniSHAMS, pihak pengurusan memandang serius isu tersebut dan berdasarkan justifikasi yang telah diberikan, ia dianggap sangat tidak berasas.

UniSHAMS menjelaskan cadangan pembinaan asrama universiti bagi menempatkan kira-kira 2,000 orang pelajar itu telah dibentangkan dan diluluskan pada Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat, UniSHAMS Sdn Bhd kali ke-14 (01/2022) pada 17 Januari 2022 menerusi kaedah pembiayaan Build, Operate And Transfer (BOT) oleh pihak swasta.

"Memandangkan pihak UniSHAMS tidak mempunyai kepakaran, pelantikan perunding (konsultan) pembangunan asrama UniSHAMS adalah satu keperluan bagi melaksanakan kerja-kerja penyediaan draf perancangan reka bentuk dan konsep sehingga asrama tersebut disiapkan sepenuhnya menerusi kaedah Request For Proposal (RFP).

"Kerja-kerja RFP ini termasuk Preliminary Detail Abstract oleh pihak arkitek, perundingan kerja-kerja awam dan struktur, perundingan kerja-kerja kejuruteraan mekanikal, perundingan kerja-kerja ukur bahan dan perundingan perancangan kewangan," katanya.

UniSHAMS menjelaskan, pihak perunding akan membantu pihak UniSHAMS bagi menjayakan pembangunan asrama ini secara Build, Operate And Transfer (BOT) kerana ia memerlukan kepakaran pihak-pihak professional menurut peraturan yang berkuat kuasa dan yuran perkhidmatan yang dikenakan adalah menurut amalan professional yang ditetapkan melalui Perbendaharaan Malaysia.

Dalam pada itu, kaedah RFP itu juga telah diteliti secara terperinci oleh jawatankuasa yang dianggotai oleh jawatankuasa yang terdiri daripada pegawai UniSHAMS, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Kedah, dengan mengambil kira kemampuan semasa dan meringankan bebanan kewangan UniSHAMS.

"Proses pemilihan perunding hanya akan diiklankan pada bulan Mei 2022 dan pihak UniSHAMS juga tidak bertanggungjawab ke atas mana-mana perunding kerana tiada sebarang lantikan rasmi dibuat sebelum ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebagai makluman, katanya, pembinaan asrama itu tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan UniSHAMS yang telah diluluskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta (Akta 555).

"Pihak pengurusan UniSHAMS kini sedang masih dalam proses untuk mengemukakan permohonan kepada pihak KPT untuk kelulusan Ketua Pendaftar, kelulusan pembinaan asrama di atas tanah yang telah digazetkan sebagai universiti, sebelum sebarang proses tawaran dapat diiklankan kepada perunding," katanya.

Sehubungan itu katanya, pihak pengurusan UniSHAMS sama sekali menafikan pertanyaan ADUN Kota Siputeh seperti yang telah dibangkitkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah pada 23 Mac lalu bahawa terdapat konsultan yang meminta daripada pihak-pihak yang mengemukakan cadangan untuk membina asrama di UniSHAMS sebanyak RM4 juta.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Dr Salmee Said membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dakwaan konsultan sebuah universiti di negeri ini meminta suapan.

Beliau berkata, dakwaan berkenaan tidak benar dan tidak berasas sama sekali, malah tidak sewajarnya dibangkitkan dalam persidangan DUN Kedah kerana bersifat tuduhan.

Bagaimanapun, ADUN Kota Siputeh, Dr Salmee Said pada Khamis mempertahankan pendedahan yang dibuat pada persidangan DUN Kedah berhubung konsultan sebuah universiti di negeri ini meminta suapan.