ADFIM adakan siri webinar pada bulan Ramadan, agih 12,000 pek iftar

ADFIM akan mengadakan siri webinar bertemakan 'Majlis Ilmu Sambil Beramal' selama 28 hari pada Ramadan ini.
ADFIM akan mengadakan siri webinar bertemakan 'Majlis Ilmu Sambil Beramal' selama 28 hari pada Ramadan ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Institusi-Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) akan mengadakan siri webinar bertemakan 'Majlis Ilmu Sambil Beramal' selama 28 hari pada bulan Ramadan melalui platform Give2Enrich.com selain mengagihkan sebanyak 12,000 pek iftar di tujuh lokasi.

ADFIM berkata, mereka yang ingin menyertai pek iftar berkenaan boleh berbuat demikian dengan membeli tiket penyertaan pada harga RM150 bagi setiap individu manakala RM250 untuk pakej kombo iaitu majlis ilmu dan pek iftar.

Selain itu, siri webinar turut mendapat kerjasama daripada Khadijah International WAQF (L) Foundation serta beberapa rakan-rakan strategik amal seperti Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Asri Ahmad Academy (AAA), Persatuan Pengurusan Kewangan Dan Harta Islam Malaysia (AiFIWM), LunaStella AIA Agency dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI).

“Majlis memorandum menandatangani perjanjian telah diadakan pada 24 Mac lalu di Auditorium Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam yang dihadiri wakil daripada rakan-rakan strategik.

“Ia turut menyasarkan 10,000 peserta bermula 1 April hingga 28 April 2022 dari jam 12 tengah hari hingga 1 petang.

“Sesi webinar ini akan diserikan dengan kehadiran empat asatizah terkenal seperti Dr Sholihah Kaswari, Fazrul Ismail, Dr Ahmad Sanusi dan Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki yang akan mentadabur surah An-Nur selama tujuh hari,” katanya pada satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah kenyataan berkenaan, selain peluang menimba ilmu setiap hari di bulan Ramadan, setiap penyertaan turut menyumbang pek iftar kepada 12,000 individu yang menyasarkan banduan wanita di Penjara Wanita Kajang, Wad Onkologi Kanak-Kanak di Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan Hospital Kuala Lumpur, Akademi Rohingya Pusat Jagaan Al-Fikrah Kajang, Perkampungan Orang Asli di Sungai Gabai Hulu Langat serta penghuni Raudatus Sakinah.

Jelasnya, hasil kutipan tiket serta tajaan akan dikeluarkan zakat dan 70 peratus daripada lebihan dana akan disalurkan kepada pembelian rumah transit kedua buat keluarga kanak-kanak kanser.

Artikel Berkaitan:

“Bagi yang berminat untuk menyertai kombo individu, dapatkan tiket dan pek iftar pada harga RM250 melalui https://tinyurl.com/MIKinfo,” ujarnya.