Pelawat perlu ada VEP untuk masuk Singapura

Kenyataan media yang dikeluarkan LTA pada Jumaat.
Kenyataan media yang dikeluarkan LTA pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Semua kenderaan pelawat yang ingin memasuki Singapura perlu mempunyai Permit Masuk Kenderaan (VEP) yang sah daripada Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) sempena pembukaan sempadan pada 1 April ini.

LTA melalui kenyataan pada Jumaat memaklumkan, permohonan kad ‘autopass’ yang berfungsi sebagai VEP itu boleh dilakukan secara dalam talian melalui perkhidmatan digital VEP di laman web ‘OneMotoring’ LTA.

Kenyataan itu turut memberitahu, pelawat yang gagal mengemukakan kad ‘autopass’ bersama emel kelulusan VEP daripada LTA di pusat pemeriksaan tidak akan dibenarkan memasuki Singapura.

“Pelawat dinasihatkan merancang sekurang-kurangnya dua minggu lebih awal daripada tarikh perjalanan yang ditetapkan bagi memberi masa yang mencukupi untuk permohonan dan kelulusan VEP.

“Disebabkan jangkaan peningkatan dalam permohonan, kami memohon pemahaman mereka bahawa LTA mungkin mengambil masa yang lebih lama untuk memproses permohonan VEP dalam tempoh ini.

“Pelawat yang tidak mempunyai urusan penting digalakkan menangguhkan rancangan mereka dahulu untuk membolehkan mereka yang mempunyai keperluan perjalanan yang penting, seperti untuk pekerjaan atau untuk bersatu semula dengan keluarga mereka, membuat perjalanan mereka,” kata kenyataan berkenaan.

Pada 8 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan sempadan negara antara Singapura dan Malaysia akan mula dibuka pada 1 April ini.

Tambah kenyataan tersebut, pelawat perlu menerima emel kelulusan VEP LTA sebelum memulakan perjalanan.

Artikel Berkaitan:

“Mereka yang tidak mempunyai kad ‘autopass’ mesti mengambil kad ‘autopass’ di Pusat Servis Johor Bahru LTA (34, Jalan Tun Abdul Razak Susur 1, 80000 Johor Bahru, Johor) sebelum memasuki Singapura.

“Mereka yang mempunyai VEP yang sah boleh mula merentas sempadan ke Singapura mulai jam 11.59 malam pada 31 Mac ini,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan, LTA menjangkakan peningkatan ketara dari segi jumlah pengguna aplikasi VEP.

“LTA akan menjalankan peningkatan sistem pada perkhidmatan digital VEP di laman web ‘OneMotoring’ LTA. Jangkaan masa henti sistem berkenaan akan bermula dari 24 Mac 2022 hingga 30 Mac 2022.

“Pemilik kenderaan akan dapat mengakses sistem mulai 31 Mac 2022,” tambah kenyataan berkenaan.