NCIA perkasa Keluarga Malaysia sejajar fasa pemulihan negara

NCIA melaksanakan pelbagai program modal insan berteraskan rakyat selaras usaha kerajaan mencapai sifar kemiskinan tegar menjelang 2025.
NCIA melaksanakan pelbagai program modal insan berteraskan rakyat selaras usaha kerajaan mencapai sifar kemiskinan tegar menjelang 2025.
A
A
A

KANGAR - Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) melaksanakan pelbagai program modal insan berteraskan rakyat untuk membangunkan tenaga kerja dan usahawan tempatan secara inklusif serta menyeluruh bagi golongan sasaran selaras dengan usaha kerajaan mengurangkan impak Covid-19 dan mencapai sifar kemiskinan tegar menjelang 2025.

NCIA dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, NCIA memperkenalkan program modal insan dan menyediakan inisiatif seperti peluang pekerjaan, keusahawanan, kaunseling pendidikan serta penjualan barangan dan perkhidmatan oleh usahawan dari Perlis kepada penduduk tempatan sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) peringkat Perlis.

Menurut NCIA, tujuh usahawan tempatan terdiri daripada peserta program empowerNCER Latihan Kemahiran dan Keusahawanan, JomNiaga@NCER, entrepreneurNCER serta Dana Usahawan NCER (DU@NCER) turut ditampilkan dalam JAKM Perlis.

"Turut berlangsung adalah pemberian Letter of Grant (LOG) bagi program DU@NCER kepada dua syarikat iaitu Perlis Dolomite Industries Sdn Bhd dan Dibuk Synergy Sdn Bhd.

"Selain itu, pemberian Kit Permulaan Perniagaan empowerNCER Latihan Kemahiran dan Keusahawanan kepada peserta kursus Teknologi Pemprosesan Makanan Sejuk Beku dan Hasil Laut, Sharifah Hamdan serta peserta kursus Customized empower, Nur Izzati Nazaruden yang disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man," katanya.

Menurut NCIA, Sharifah dan Nur Izzati yang pada asalnya berpendapatan rendah, kini boleh memulakan perniagaan untuk menjana pendapatan, seterusnya keluar dari belenggu kemiskinan.

NCIA menjelaskan DU@NCER diwujudkan sebagai dana sokongan kepada syarikat-syarikat SME Bumiputera yang berkelayakan bagi meneroka pelaburan baharu atau perkembangan perniagaan selaras dengan Pelan Pembangunan Strategik NCER (SDP 2021 – 2025) dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang memfokuskan kepada sektor-sektor teras di NCER.

"Dana ini bertujuan untuk membantu merapatkan jurang ekonomi di antara wilayah melalui pembangunan projek yang terletak di 'special promoted area' di Program Modal Insan Bersepadu Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Artikel Berkaitan:

"Projek-projek yang akan dibantu di bawah program DU@NCER ini dilihat bakal memberi kesan nilai pengganda yang tinggi serta dapat mewujudkan peluang pekerjaan terutamanya di peringkat mahir dan separuh mahir dan peluang keusahawanan," katanya.

Menurut Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan, NCIA komited dan beriltizam untuk meneruskan usahanya merealisasikan aspirasi nasional dalam merapatkan jurang ketidakseimbangan wilayah, selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan aspirasi 'Keluarga Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan'.

Tambah NCIA, seramai 796 rakyat daripada komuniti di Perlis kini diperkasakan dengan latihan peningkatan kemahiran dan keusahawanan.

"Mereka telah berjaya menjana pendapatan terkumpul sebanyak RM6.35 juta melalui program empowerNCER dan JomNiaga@NCER.

"Selain itu, peserta program daripada kumpulan berpendapatan rendah (B40) kini telah berjaya menongkah trend dengan menjana pendapatan yang lebih tinggi sewaktu pandemik melalui bimbingan dari NCIA seperti pemasaran e-dagang," katanya.

Dalam pada itu, NCIA menyatakan seramai 291 graduan dan pekerja yang diberhentikan telah mendapat penempatan pekerjaan dalam pelbagai industri melalui NCER Talent Enhancement Programme (NTEP) dan JomKerja@NCER.

"Sejak 2019, hampir 68,000 orang dari 30 daerah di NCER yang terdiri daripada kumpulan sasar B40, wanita dan Orang Asli telah mendapat manfaat daripada program modal insan di bawah NCIA.

"Daripada hampir 68,000 orang itu, 7,803 merupakan rakyat dari negeri Perlis," katanya.

Selain itu, kira-kira 350 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 daripada keluarga B40 mengikuti kelas bimbingan akademik yang disediakan oleh NCIA menerusi program empowerNCER-Akademik untuk meningkatkan prestasi akademik mereka serta dibimbing sehingga mendapat penempatan di institusi pengajian tinggi dengan matlamat membasmi kemiskinan masa hadapan.

"Dengan bimbingan yang diterima, kadar kelulusan 93.3 peratus telah dicapai dalam keputusan SPM 2020 yang jauh mengatasi kadar kelulusan purata kebangsaan iaitu 88.68 peratus dan kadar kelulusan negeri berjumlah 88.4 peratus dengan 54 peratus penempatan pelajar ke institusi pengajian tinggi dan program lain yang bersesuaian dengan keputusan yang diperoleh," katanya