Ali Rustam bakal terima anugerah ijazah kehormat USM

Mohd Ali Rustam
Mohd Ali Rustam
A
A
A

GEORGETOWN - Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam akan dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi Pembangunan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) dalam Upacara Konvokesyen ke-59 universiti berkenaan pada 29 Mac ini.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, Canselor USM, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail telah berkenan untuk mempengerusikan sidang satu konvokesyen berkenaan pada jam 10.30 pagi di Istana Arau, Perlis, 29 Mac ini.

"Sidang pertama ini adalah untuk meraikan penerima Ijazah Kehormat, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Mohd Ali yang akan dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi Pembangunan.

"Penganugerahan ini sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan universiti terhadap sumbangan Tun yang cemerlang dalam bidang ekonomi yang telah mendapat pelbagai pengiktirafan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Faisal Rafiq berkata, Mohd Ali yang juga Alumni Terbilang USM terkenal dengan ketokohannya dan banyak menyumbang kepada aspek kemajuan ilmu, perkembangan dan penyebaran pengetahuan serta kepakaran.

''Pencapaian beliau telah membuktikan bahawa graduan dalam bidang Sains Sosial boleh menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara secara menyeluruh.

"USM bangga kerana Tun menjadi alumni USM pertama yang telah mengharumkan nama universiti apabila dilantik sebagai Yang Di-Pertua Negeri Melaka Ketujuh, satu kedudukan paling tinggi dalam negeri. Beliau juga telah mengharumkan nama USM dengan menerajui negara di pelbagai peringkat jawatan kerajaan dan jawatan politik sehingga dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka Kesembilan," katanya.

Upacara Konvokesyen ke-59 USM akan bermula pada 29 Mac (sidang satu) di Istana Arau, Perlis dan diikuti dengan sidang kedua hingga 12, bermula pada 21 Mei hingga 31 Mei di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), USM Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

Konvokesyen itu akan meraikan sejumlah 6,706 graduan yang menerima ijazah masing-masing termasuk Ijazah Tinggi (PhD) dan Sarjana (2,231), Ijazah Sarjana Muda (4,425) dan Diploma Kejururawatan (50).

Upacara Konvokesyen ke-59 USM bagi Sidang Kedua hingga Sidang ke-12 pada Mei depan akan dipengerusikan oleh Pro-Pro Canselor USM iaitu Tan Sri Datuk Dr Zulkefli A Hassan, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur dan Tan Sri Datuk Dr M Jegathesan.

Tambahnya, untuk Sidang Kedua hingga S12 di DTSP, penganugerahan ijazah-ijazah akan dijalankan secara satu sesi setiap hari.

"Pecahan sidang bagi Upacara Konvokesyen Ke-59 (Sidang Kedua hingga Sidang ke-12) akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

"Tuanku Canselor juga telah memperkenan untuk berangkat bagi menyempurnakan Majlis Anugerah Sanggar Sanjung pada jam 9.30 malam, 28 Mac di Mess Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia, Kangar, Perlis.

"Anugerah Sanggar Sanjung merupakan acara berprestij universiti yang mengiktiraf dan meraikan para penyelidik, pendidik dan pentadbir USM yang menunjukkan ketokohan dan kecemerlangan dalam menabur bakti kepada universiti,"katanya.

Katanya, penganugerahan itu turut menjadi inisiatif universiti dalam memartabatkan pencapaian para karyawan USM, pensyarah dan para pentadbirnya yang diiktiraf di dalam negara serta di pentas dunia.