Medvedev kecewa tidak dapat beraksi di Wimbledon

Medvedev - Foto Tennisworldusa
Medvedev - Foto Tennisworldusa
A
A
A

PEMAIN tenis Rusia, Daniil Medvedev kecewa dengan keputusan tidak membenarkannya serta kesemua pemain tenis dari negara itu beraksi pada Kejohanan Wimbledon tahun ini.

Bagaimanapun, pemain tenis nombor dua dunia itu memilih untuk tidak mengulas lanjut berhubung perkara berkenaan.

“Buat masa ini saya tidak ada apa-apa respon terhadap perkara berkenaan kerana saya perlu melihat apa yang akan berlaku selepas ini.

“Saya akan cuba untuk beraksi pada kejohanan-kejohanan lain yang memiliki peraturan berbeza berbanding peraturan seperti ini.

“Ketika ini, saya berada di Miami dan saya boleh bermain tenis. Saya gembira bermain tenis kerana ia merupakan sukan kegemaran saya,” katanya.

Keputusan untuk melarang Medvedev beraksi adalah susulan daripada tindakan Rusia yang didakwa menceroboh Ukraine ketika ini.

Susulan pencerobohan berkenaan, kesemua atlet Rusia tidak dibenarkan bertanding dalam semua acara sukan di seluruh dunia.

Bagaimanapun baru-baru ini, Menteri Sukan British, Nigel Huddleston pada sidang Parlimen memberitahu bahawa Medvedev mungkin dibenarkan beraksi di Wimbledon, sekiranya menyatakan tidak menyokong Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Medvedev menegaskan dia sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan yang akan dihadapi pada perlawanan akan datang di mana dia mungkin berdepan tindakan ‘diharamkan’ sekali lagi untuk beraksi.

“Saya tahu kini setiap negara boleh menetapkan undang-undang serta peraturan masing-masing, mungkin esok lusa ada yang umumkan bahawa tiada lagi kejohanan tenis di negara berkenaan.

“Namun seperti yang saya katakan sebelum ini, saya sentiasa menyokong usaha-usaha keamanan dan rasanya semua orang tahu apa yang berlaku di Ukraine ketika ini dengan banyak pihak mengatakan ia adalah pencerobohan Rusia.

“Cuma apa yang saya mahukan ketika ini adalah untuk memastikan semua orang berada dalam keadaan selamat termasuklah diri saya sendiri,” katanya.