Majlis Keselamatan PBB bincang isu peluru berpandu Korea Utara

Foto AP/ KCNA via KNS
Foto AP/ KCNA via KNS
A
A
A

WASHINGTON/SEOUL - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengadakan mesyuarat rasmi pada Jumaat bagi membincangkan pelancaran peluru berpandu Korea Utara baru-baru ini.

Sesi itu dijadual berlangsung di New York, lapor agensi berita Yonhap.

Korea Selatan turut dijangka menyertai mesyuarat itu bagi menyampaikan pendiriannya meskipun ia bukan anggota majlis.

Laporan sebelum ini memaklumkan Amerika Syarikat (AS) dan lima anggota majlis keselamatan lain, termasuk Britain dan Perancis, menggesa mesyuarat tergempar diadakan bagi membincangkan ujian peluru berpandu Pyongyang.

Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik antara benua pada Khamis (waktu Seoul), menamatkan moratoriumnya sendiri terhadap ujian peluru berpandu jarak jauh yang telah dilaksanakan sejak akhir 2017.

AS dan sekutunya berulang kali menuntut Majlis Keselamatan PBB mengenakan sekatan tambahan ke atas Korea Utara berikutan 10 pelancaran peluru berpandu pada tahun ini, tetapi disekat anggota tetap iaitu China dan Rusia yang menggunakan kuasa veto. - Bernama

Artikel Berkaitan: