Kelantan benar solat berjemaah rapat saf mulai 1 April

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KOTA BHARU - Semua masjid, surau dan musalla di seluruh negeri ini akan mula solat berjemaah dan Jumaat dengan merapatkan saf berkuat kuasa pada 1 April ini sebaik sahaja peralihan negara ke fasa endemik.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Tengku Temenggong Kelantan Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, kebenaran itu turut digunakan untuk solat sunat tarawih sepanjang bulan Ramadan sama ada lapan atau 20 rakaat.

"Keputusan ini telah mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V selaku Ketua Agama Islam Negeri sebagaimana peruntukan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Menurutnya, aktiviti qiamullail sepanjang Ramadan turut dibenarkan kepada seluruh rakyat di negeri ini.

Beliau berkata, semua aktiviti-aktiviti lain seperti majlis-majlis zikir, kelas al-Quran, kuliah khas, umum dan lain-lain termasuk program Ihya Ramadan turut dibenarkan beroperasi seperti biasa tanpa penjarakan fizikal.

Tengku Muhammad Rizam berkata, masjid, surau dan musalla hanya dibenarkan menyediakan menu jamuan berbuka puasa, moreh dan sahur secara bungkus dan diagihkan kepada jemaah untuk dibawa pulang.

"Jemaah yang tidak mempunyai apa-apa gejala Covid-19 sahaja dibenarkan hadir manakala jemaah bergejala adalah tidak dibenarkan hadir.

"Semua jemaah diwajibkan memakai pelitup muka dan diwajibkan membawa sejadah masing-masing serta tidak dibenarkan bersalam antara satu sama lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, prosedur operasi standard (SOP) masjid, surau dan musalla yang lain dikekalkan sebagaimana yang telah dikeluarkan sebelum ini selari dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Maik amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak terutama umat Islam secara amnya dalam melaksanakan ketetapan ini.

"SOP sebagaimana di atas hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh pihak pengurusan masjid, surau dan musolla. Tindakan sewajarnya akan diambil di atas kegagalan untuk mematuhi SOP ini," katanya.