Perdana Menteri seru rakyat bantu PDRM

Ismail Sabri ketika menghadiri Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-215 Tahun 2022 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, pada Jumaat.
Hadir sama Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani. Foto Bernama
Ismail Sabri ketika menghadiri Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-215 Tahun 2022 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, pada Jumaat. Hadir sama Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru seluruh Keluarga Malaysia supaya berganding bahu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu membanteras jenayah dan mengekang anasir cuba menggugat kedaulatan negara.

Menurut Ismail Sabri, dalam konteks menjaga keamanan negara, bebanan tersebut tidak sepatutnya diletakkan di atas bahu pasukan keselamatan seperti PDRM semata-mata.

"Dalam usia menjangkau 215 tahun, segala pengalaman diharungi telah menjadikan PDRM sebuah agensi penguat kuasa utama negara yang matang dan amat komited dalam memikul mandat dan tanggungjawab.

"Saya dimaklumkan bahawa jenayah indeks bagi tahun 2021 telah menunjukkan penurunan iaitu 52,974 kes berbanding 65,623 kes pada tahun 2020.

"Bagi tempoh Januari hingga Februari tahun ini, jenayah indeks turut menurun kepada 8,484 kes berbanding 9,773 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas," katanya semasa berucap sempena Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-215 Tahun 2022 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini, pada Jumaat.

Tambah Ismail Sabri, syabas kepada PDRM kerana berjaya mengekalkan momentum kecemerlangan dalam penurunan indeks jenayah negara dan membuktikan kredibiliti PDRM dalam menjaga keamanan negara amat tinggi.

Kata beliau lagi, kerajaan sedar bahawa tugas kepolisan dalam menangani kes jenayah semakin kompleks lebih-lebih lagi dengan kewujudan teknologi dan pelbagai aplikasi media sosial yang disalahgunakan untuk perbuatan jenayah.

"Semua ini menuntut PDRM menanganinya secara tegas, strategik dan berkesan demi memastikan keselamatan negara dan ketenteraman awam terpelihara.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan berpuas hati dengan tahap profesionalisme dan kesiapsiagaan yang ditunjukkan oleh anggota PDRM dalam memikul amanah termasuk menangani ancaman militan," kata Perdana Menteri.

Mengulas berkenaan cabaran negara berdepan pandemik Covid-19, Ismail Sabri berkata, sepanjang dua tahun ini, Keluarga Malaysia terpaksa melalui kehidupan amat mencabar dan memerlukan bantuan daripada pelbagai pihak bagi mengurangkan beban akibat wabak terbabit.

"Saya menghargai peranan dimainkan oleh anggota PDRM sebagai barisan hadapan yang banyak membantu meringankan beban Keluarga Malaysia ketika pandemik.

"Lebih membanggakan, walaupun hampir seluruh kekuatan jentera pasukan telah dikerahkan untuk penugasan Op Covid-19, PDRM tetap komited dalam

mengimbangi keutamaan perkhidmatan memerangi jenayah dan mengekalkan keharmonian masyarakat serta keamanan negara," katanya.

Justeru, pihak kerajaan mengucapkan terima kasih kepada PDRM yang sanggup mengetepikan kepentingan diri, berhujan panas, memerah keringat dan mendedahkan diri kepada risiko jangkitan dan bencana.

"Kerajaan amat prihatin dengan keperluan pasukan polis untuk meningkatkan keupayaan dalam menghadapi dan membanteras kejadian jenayah kerana soal keselamatan bukanlah perkara yang boleh dipandang remeh," kata beliau.