Bayar kompaun guna kad kredit, debit

Kaedah yang disediakan ini sekali gus memudahkan urusan orang ramai untuk berurusan dengan pihak anggota penguatkuasa MPSJ.
A
A

SUBANG JAYA - Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) memperkenalkan pembayaran kompaun trafik melalui Sistem Integrated Payment On Site (IGPOS) iaitu pembayaran kompaun trafik di tapak secara langsung menggunakan kad kredit atau debit di seluruh kawasan pentadbiran MPSJ.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, kaedah ini merupakan satu inovasi dalam perkhidmatan bertujuan untuk memberi kemudahan kepada Orang Kena Kompaun (OKK) membuat pembayaran kompaun tanpa perlu hadir ke Ibu Pejabat MPSJ.

"Langkah proaktif yang diambil MPSJ ini sekali gus membantu menjimatkan masa mereka.

"Dalam masa sama, ia menunjukkan ketelusan pihak MPSJ di dalam pengendalian pengurusan pembayaran kompaun trafik seterusnya meningkatkan integriti di kalangan anggota penguatkuasa MPSJ," katanya.

Katanya, prosedur bagi membuat pembayaran menggunakan sistem ini adalah mudah dan pengemaskinian data pembayaran juga dibuat secara terus.

Menurutnya,sistem ini telah memenangi Anugerah Inovasi Negeri Selangor 2017 bagi kategori Pihak Berkuasa Tempatan serta Anugerah Khas Produk Akhir Terbaik oleh Kerajaan Negeri Selangor.

"Berdasarkan statistik, sepanjang tahun 2018, pihak MPSJ telah berjaya mengumpul sebanyak RM 21,410.00 (1135 transaksi) bagi pembayaran menggunakan sistem ini di tapak," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia