Era baharu kebangkitan bahasa Melayu

Penegasan Perdana Menteri untuk menggunakan bahasa kebangsaan dalam urusan dan persidangan antarabangsa yang dianjurkan oleh negara adalah satu kemenangan kepada para pejuang bahasa. - Foto Bernama
Penegasan Perdana Menteri untuk menggunakan bahasa kebangsaan dalam urusan dan persidangan antarabangsa yang dianjurkan oleh negara adalah satu kemenangan kepada para pejuang bahasa. - Foto Bernama
A
A
A

PENEGASAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menggunakan bahasa kebangsaan dalam urusan dan persidangan antarabangsa yang dianjurkan oleh negara adalah satu kemenangan kepada para pejuang bahasa.

Ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Isa Abdul Samad di Dewan Negara pada Rabu, Ismail Sabri menegaskan semua persidangan antarabangsa anjuran Malaysia akan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama.Bagi tujuan itu, jelas beliau, kerajaan akan menyediakan kemudahan jurubahasa dan penterjemah yang dikendalikan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) serta Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITHM).

Syabas Perdana Menteri kerana mengambil satu langkah dan usaha luar biasa yang sudah lama sebahagian besar rakyat impikan. Selama ini amat menyedihkan, bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan tetapi peranannya seperti dianaktirikan.

Pada sidang-sidang media melibatkan syarikat korporat ternama, institusi kewangan dan anak-anak syarikat kerajaan (GLC), amat jarang atau tidak pernah kelihatan di kaca televisyen, elit-elit Melayu yang memegang jawatan tinggi bertutur dalam bahasa Melayu.

Adakah bagi sesetengah mereka beranggapan bahasa Melayu terlalu lekeh dan kolot untuk digunakan sebagai bahasa perantaraan ekonomi?

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif CIMB, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz boleh dijadikan contoh terbaik. Beliau telah membuktikan bahasa Melayu boleh digunakan sebagai bahasa ekonomi apabila memegang jawatan Menteri Kewangan.

Seperkara lagi, kita juga patut memberikan mandat penguatkuasaan bahasa kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Ini kerana jika kita mundar-mandir di bandar-bandar besar di Malaysia, kita akan terasa seperti tidak berada di dalam negara.

Sebahagian besar nama bangunan dan taman serta kondominium bukan dalam bahasa Melayu. Di mana kita nak letak jati diri kita? Tidak ada rasa malu langsung kerana membelakangkan bahasa kebangsaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam hal ini, pihak berkuasa tempatanlah yang patut bertanggungjawab memastikan setiap pemaju wajib mengutamakan bahasa kebangsaan dalam permohonan mereka untuk menamakan taman baharu, kondominium mahupun apartmen.

Kita patut malu dengan sikap ditunjukkan oleh bangsa lain dalam mendaulatkan bahasa kebangsaan. Di Hong Kong, walaupun lama dijajah British, semasa penulis ke sana, nama-nama kedai yang terpampang di premis-premis di bandar raya itu banyak menggunakan tulisan Mandarin.

Lihat saja sikap penduduk di negara tetangga seperti Thailand, Indonesia dan Kemboja. Rakyatnya cukup berbangga menggunakan bahasa ibunda mereka tetapi sebaliknya di Malaysia. Kita lebih teruja apabila bercakap bahasa penjajah pada majlis-majlis rasmi.

Amat malang dalam pelbagai sektor, bahasa Melayu sejak dahulu dilayan sebagai ‘bahasa ke-kampungan’ kerana ada dalam kalangan kita lebih melihat isu bahasa jauh ke belakang berbanding memberikan kedudukan lebih tinggi kepada bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi, politik dan sosial.

Pengalaman penulis semasa bertugas lebih tiga tahun di Jakarta (Julai 1996-1999), golongan ekspatriat dan koresponden media warga asing akan berusaha mempelajari dan menguasai bahasa Indonesia untuk memudahkan urusan mereka.

Di Dhaka, ketika penulis berada beberapa hari di ibu negara Bangladesh itu pada tahun 2015 sempena lawatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak, alangkah bangganya apabila kerap disapa dalam bahasa Melayu oleh ramai penduduk tempatan.

Itu contoh di Bangladesh, belum lagi melibatkan negara lain yang puluhan ribu atau ratusan ribu rakyatnya silih berganti setiap tahun mencari rezeki di Malaysia seperti dari Nepal, Myanmar, Vietnam, Pakistan dan India. Sebahagian besar daripada rakyat di negara itu kini adalah penutur atau sekurang-kurangnya memahami bahasa Melayu.

Ingatlah, bahasa menentukan bangsa. Bahasa juga jiwa bangsa. Terima kasih Perdana Menteri kerana memartabatkan bahasa kita. Kita tunggu Perdana Menteri berucap dalam bahasa Melayu di New York (Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) nanti.

* Marzuki Yusoff ialah Penyunting Sinar Harian