Cuaca panas: Jaga-jaga haiwan liar masuk rumah!

A
A

GEORGETOWN- Cuaca panas melampau terus memberi kesan bukan sahaja kepada manusia tetapi juga haiwan apabila Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang menerima banyak panggilan kecemasan untuk bantuan menangkap binatang liar yang berteduh dalam premis atau kediaman.

Pengarah JBPM Pulau Pinang, Saadon Moktar berkata panggilan kecemasan yang diterima itu adalah untuk bantuan menangkap binatang liar termasuk ular, monyet, biawak dan musang yang mencari premis atau rumah orang sebagai tempat berteduh daripada cuaca panas.

"Tahun ini sehingga 18 Mac lepas, pihak bomba telah menerima sebanyak 219 panggilan kecemasan untuk menangkap binatang liar dan saya menjangkakan angka ini akan terus meningkat sekiranya cuaca panas kering ini berterusan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata fenomena cuaca panas kering ini telah menyebabkan binatang yang hidup di dalam hutan terpaksa keluar untuk mencari tempat berteduh.

Saadon berkata kejadian terbaru berlaku di sebuah pusat membeli-belah di Persiaran Gurney hari ini, di mana Balai JBPM Jalan Bagan Jermal telah menerima panggilan untuk menyelamatkan seekor musang yang terperangkap di premis berkenaan.

"Pada 12 tengah hari tadi, anggota bomba dari Jalan Bagan Jermal telah menerima panggilan dan bergegas ke tempat kejadian untuk menyelamatkan musang yang terperangkap di siling tingkat tiga pusat membeli-belah tersebut," katanya.

Sementara itu, Saadon berkata jumlah kes kebakaran terbuka di negeri juga meningkat sejak awal bulan Februari ini berikutan keadaan cuaca yang panas kering yang menyebabkan kebakaran mudah berlaku.

Beliau berkata sejak awal tahun ini sehingga semalam (20 Mac), sejumlah 964 kes kebakaran terbuka telah direkodkan di negeri ini yang melibatkan hutan, lalang, kebun dan sampah.

"Saya ingin menasihati orang ramai supaya kurangkan aktiviti pembakaran terbuka, memastikan sampah tidak ditinggalkan berlonggok dan jangan membuang puntung rokok ke kawasan hutan, lalang atau padang supaya kebakaran terbuka tidak berlaku," katanya.

Beliau juga berkata pasukan JBPM yang mempunyai seramai 825 anggota dan dibantu oleh 36 pasukan bomba sukarela akan sentiasa bersiap sedia menghadapi musim panas kering yang mungkin akan berlarutan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan Selasa lepas menjangkakan cuaca panas di beberapa kawasan di negara ini akan berlarutan sehingga Mei ini. - Bernama