Mayat budak lelaki ditemui terapung di laut

Mohd Hazani ketika ditemui di lokasi kejadian penemuan mayat di tepi laut berhampiran Kampung Tanjung Aru, di Jalan Coastal, Kota Kinabalu.
Mohd Hazani ketika ditemui di lokasi kejadian penemuan mayat di tepi laut berhampiran Kampung Tanjung Aru, di Jalan Coastal, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Mayat kanak-kanak lelaki ditemukan terapung di kawasan laut berhampiran Kampung Tanjung Aru di Jalan Coastal di sini petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, mangsa berusia lingkungan 10 tahun itu ditemukan pada jam 1.45 petang dipercayai warga asing berdasarkan ketiadaan kesan suntikan imunisasi BCG (Bacillus Calmette Guerin) pada badan mangsa.

"Mayat mangsa ditemukan oleh dua remaja yang kebetulan berjalan kaki melalui jalan berkenaan. Kedua-dua remaja terbabit terus bertindak mengangkat mayat mangsa sebelum menghubungi polis menerusi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan pada jam 1.57 petang.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan polis terus menjalankan siasatan dan kanak-kanak terbabit disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang turut hadir membantu di lokasi kejadian," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Beliau berkata, berdasarkan pemeriksaan awal, mayat mangsa hanya mengalami sedikit benjolan di bahagian dahi dipercayai akibat terhentak pada batu penghadang di tepi laut ekoran keadaan arus ombak yang agak kuat.

Mohd Zaidi berkata, mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) di sini untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa.

Katanya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, manakala lakaran wajah mangsa akan diserahkan kepada media untuk mengesan waris dan orang ramai yang kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi pihak polis. - Bernama

Artikel Berkaitan: