Perhilitan Johor terima 14 aduan gajah liar ceroboh Desaru Fruit Farm

Laporan Sinar Harian pada 24 Mac 2022.
Laporan Sinar Harian pada 24 Mac 2022.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor telah menerima sebanyak 14 aduan berkaitan isu kacau ganggu gajah liar di sekitar kawasan Desaru Fruit Farm, Pengerang pada tahun ini.

Pengarahnya, Aminuddin Jamin berkata, berhubung perkara itu, pihaknya telah melaksanakan tindakan pemantauan dan kawalan bagi mengenal pasti kedudukan terkini gajah-gajah berkenaan.

“Tindakan kawalan telah dijalankan terhadap setiap aduan yang diterima di pejabat Perhilitan daerah. Berdasarkan makluman, kita anggarkan tiga ekor gajah terlibat dalam insiden kacau ganggu ini.

“Berhubung perkara ini juga, pihak pengurusan Desaru Fruit Farm turut dinasihatkan untuk membina pagar elektrik dan longkang bagi memastikan gajah liar tidak masuk ke kawasan mereka,” katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan pengusaha kebun buah-buahan di situ menyuarakan kebimbangan mereka kerana hasil tanaman dimusnahkan kumpulan gajah liar dalam beberapa kejadian sejak akhir Februari lalu.

Aminuddin berkata, kawasan kebun berkenaan merupakan laluan kepada gajah-gajah di kawasan berkenaan, namun ia bukan merupakan laluan utama.

“Kawasan itu (Desaru Fruit Farm) memang berada di antara laluan-laluan gajah, namun ia bukan di laluan utama. Kita juga maklum bahawa kawasan berkenaan adalah hampir dengan Hutan Rezab Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

“Bagaimanapun, berdasarkan aduan dan makluman pengadu, tiada serangan gajah terhadap manusia, cuma gajah tersebut telah memusnahkan tanaman yang mana mamalia ini adalah daripada kumpulan Panti,” katanya.

Artikel Berkaitan: