Rentas Malaysia-Singapura rancakkan usaha pemulihan ekonomi

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan Malaysia dan Singapura membenarkan semua pengembara yang telah lengkap vaksinasi merentas sempadan darat pada 1 April depan dapat merancakkan lagi usaha pemulihan ekonomi, sekali gus mewujudkan kesejahteraan rakyat bagi kedua-dua negara.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, keputusan itu juga merupakan berita yang amat menggembirakan terutama bagi mereka yang telah lama terpisah dengan ahli keluarga akibat kekangan pergerakan susulan Covid-19.

“Dengan keputusan ini, semua pengembara yang telah lengkap vaksinasi dibenarkan merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian Covid-19, termasuk ujian pra-pelepasan dan semasa ketibaan. Ini terpakai ke atas semua kategori pengembara dan jenis pengangkutan darat.

“Alhamdulillah, saya percaya ini berita yang amat menggembirakan terutama kepada mereka yang telah lama terpisah dengan ahli keluarga akibat kekangan pergerakan. Bermula 1 April ini lebih mudahlah untuk bertemu insan tersayang.

“Keputusan yang dicapai ini juga akan merancakkan lagi usaha pemulihan ekonomi dan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara. Insya-ALLAH,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya pada Khamis.

Pejabat Perdana Menteri Malaysia dan Singapura menerusi kenyataan bersama pada Khamis memaklumkan, Malaysia dan Singapura mencapai kata sepakat dengan membenarkan semua pengembara yang telah lengkap vaksinasi untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian Covid-19.

Ini termasuklah ujian pra-pelepasan dan semasa ketibaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembukaan sempadan Malaysia pada 1 April ini kepada pengembara antarabangsa melakar satu kejayaan penting dalam pemudah cara perjalanan rentas sempadan dengan jiran terdekat iaitu Singapura.

Artikel Berkaitan: