Migrasi, buruh paksa masuk agenda Dialog Strategik UK-Malaysia

Saravanan
Saravanan
A
A
A

PUTRAJAYA - Migrasi dan buruh paksa dicadangkan menjadi antara agenda tetap dalam Dialog Strategik United Kingdom-Malaysia yang akan diadakan setiap tahun bermula tahun ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan dalam rangka lawatan kerja ke United Kingdom (UK) berkata, beliau akan mengutarakan cadangan itu, yang turut disambut baik oleh UK dalam mesyuarat Jemaah Menteri akan datang.

"Saya percaya usaha ini akan membuahkan hasil yang positif kerana isu migrasi dan buruh paksa perlu ditangani melalui kerjasama strategik dengan pelbagai pihak berkepentingan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ketika di UK, Saravanan mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya UK Mengenai Migrasi dan Perhambaan Moden Andrew Patrick pada 23 Mac, turut disertai delegasi daripada pelbagai jabatan dan agensi terlibat dalam pelaksanaan Akta Perhambaan Moden 2015 di UK, yang mana beliau berkongsi inisiatif kerajaan dalam menangani isu buruh.

"Beliau (Patrick) bersetuju bahawa isu buruh paksa ini berkait rapat dengan migrasi dan bersedia untuk menjalinkan kerjasama lebih erat ke arah membasmi buruh paksa secara holistik," katanya.

Saravanan berkata, Patrick turut mengucapkan tahniah kepada kerajaan atas komitmen ditunjukkan terutamanya dalam meratifikasi Protokol Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) berhubung buruh paksa (Protokol 29).

Malaysia telah mendepositkan ratifikasi Protokol 29 iaitu sebuah protokol kepada Konvensyen Buruh Paksa pada Isnin lepas (21 Mac) sebagai sebahagian daripada langkah kerajaan menangani isu berkenaan dan komitmennya di peringkat antarabangsa.

Menurut Saravanan, UK mengambil pendekatan berbeza dengan sekatan eksport dikenakan oleh Amerika Syarikat yang mana pihak UK lebih menekankan kepada tindakan pencegahan dan pembetulan boleh diambil oleh syarikat terlibat dalam amalan buruh paksa.

UK juga mengenakan tindakan keras ke atas syarikat dikenal pasti mengamalkan buruh paksa dalam rantaian bekalan mereka. - Bernama

Artikel Berkaitan: