X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

Bazar Ramadan, solat hari raya di Pulau Pinang dibenarkan

Ahmad Zakiyuddin
A
A

GEORGETOWN - Operasi bazar Ramadan di seluruh Pulau Pinang dibenarkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan susulan negara memasuki Fasa Peralihan Endemik bermula 1 April ini.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman ketika mengumumkan SOP masjid dan surau yang baharu pada Khamis.

Menurutnya, selain bazar Ramadan, pasar tani turut dibenarkan bagi merancakkan ekonomi di negeri ini.

"Takbir raya pada malam raya serta takbir dari rumah ke rumah juga dibenarkan. Selain itu, solat jenazah dan ziarah kubur dibenarkan di masjid dan surau selain penggunaan air kolah turut dibenarkan.

"Semua aktiviti sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri termasuk solat sunat hari raya dan majlis jamuan hari raya juga dibenarkan.

"Sementara itu, tazkirah ketika solat tarawih dibenarkan namun tidak melebihi 10 minit. Qiyamullail dan kuliah di semua masjid dan surau juga dibenarkan," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, bagi solat tarawih, lapan rakaat dibenarkan manakala 20 rakaat adalah digalakkan.

"Bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah, ia dibenarkan namun perlu ditemani oleh ibu bapa atau penjaga yang lengkap divaksin.

"Kita juga memberi kebenaran kepada semua jemaah tanpa had umur dan telah menerima dua dos vaksin.

"Pelaksanaan solat jemaah tanpa penjarakan fizikal dibenarkan dan penggunaan sejadah besar adalah digalakkan," katanya.

Ahmad Zakiyuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, perbincangan khas yang diadakan pada Rabu juga memutuskan agar semua aktiviti pengimarahan termasuklah majlis berbuka puasa, moreh, sahur, tadarus al-Quran, qiamullail serta kutipan zakat fitrah secara bersemuka dibenarkan.

"Pekeliling ini adalah berkuat kuasa mulai solat Subuh 1 April sehingga arahan baharu dikeluarkan.

"Ia tertakluk kepada perubahan arahan oleh pihak kerajaan dari semasa ke semasa atau sehingga satu tempoh diisytiharkan keadaan kembali selamat oleh kerajaan," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!