SDP catat RM2.7 bilion sepanjang lima tahun

Noh
Noh
A
A
A

PETALING JAYA - Perolehan Sime Darby Plantation (SDP) yang melibatkan syarikat bumiputera telah merekodkan RM2.7 bilion sepanjang lima tahun lalu, termasuk perolehan berjumlah RM558 juta pada 2021.

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar, perolehan pada tahun lepas itu merupakan peningkatan sebanyak RM195 juta daripada jumlah perolehan pada 2020.

"Sokongan SDP kepada usahawan bumiputera tidak hanya tertakluk kepada vendor bumiputera yang berdaftar di bawah PPV sahaja, malah pelbagai peluang perolehan telah dimanfaatkan oleh usahawan-usahawan bumiputera yang terbukti mempunyai daya saing dan kompetitif dari segi harga dan kualiti perkhidmatan,” katanya semasa merasmikan Hari Pembangunan Usahawan Sime Darby Plantation 2022 pada Khamis.

Selain itu katanya, sebanyak 26 syarikat ‘anchor’ (induk) telah menandatangani memorandum persefahaman dengan kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi melaksanakan Program Pembangunan Vendor (PPV) termasuk SDP sehingga kini.

Beliau juga berkata, permohonan peruntukan tambahan akan dimajukan kepada Kementerian Kewangan bagi Skim Pembiayaan Informal (SPIN) berikutan sambutan yang menggalakkan.

"Kementerian juga sedang melaksanakan pelbagai pakej rangsangan bagi memudahkan usahawan bangkit semula daripada pandemik Covid-19 dengan memperkenalkan skim pembiayaan mudah dan moratorium 12 bulan,” katanya.

Sementara itu, SDP juga mengumumkan penyertaan 11 rakan niaga yang terpilih bagi PPV bumiputera yang dikelolakan oleh syarikat tersebut untuk meningkatkan daya saing usahawan itu dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.

Ketua Pegawai Perkhidmatan Operasi SDP Adi Wira Abd Razak berkata, pihaknya telah mengenal pasti vendor bumiputera yang akan bekerjasama dalam projek-projek penyelidikan dan pembangunan pada tahun ini selaras dengan fokus inovasi perladangan.

Artikel Berkaitan:

"Kami ingin mempelawa lebih banyak lagi syarikat bumiputera untuk mendaftar sebagai vendor kami terutamanya syarikat-syarikat yang boleh memperkenalkan inisiatif inovatif serta membantu dalam penyelesaian cabaran industri sawit,” tambahnya. - Bernama