5,530 tan sisa banjir di Hulu Terengganu dan Kemaman

Alias Razak
Alias Razak
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Pihak berkuasa tempatan (PBT) menguruskan sebanyak 5,530 tan sampah dan sisa buangan banjir di Kemaman dan Hulu Terengganu selepas dua daerah itu dilanda banjir teruk pada bulan lepas.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak berkata, daripada jumlah itu, 2,830 tan sampah diuruskan Majlis Perbandaran Kemaman manakala 2,700 tan oleh Majlis Daerah Hulu Terengganu.

“Kakitangan pembersihan terpaksa bekerja berlipat kali ganda kerana jumlah sampah ini terlalu besar berbanding kebiasaan 30 hingga 50 tan sampah,” katanya kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini pada Khamis.

Menurut Dr Alias, kebanyakan sampah dibuang adalah perabot dan pelbagai barangan lain yang rosak selepas ditenggelami banjir.

Sementara itu beliau berkata, jumlah sampah yang dibuang di negeri ini dijangka meningkat pada Ramadan nanti susulan penggunaan pembungkus makanan di bazar dan pembaziran makanan oleh orang ramai.

Sehubungan itu, Dr Alias menggalakkan orang ramai supaya membawa bekas makanan sendiri ketika membeli juadah di bazar Ramadan dan berbelanja mengikut keperluan bagi mengelak berlakunya pembaziran.

“Pekerja pembersihan terpaksa angkut sampah basah seperti nasi dan kuih yang tidak habis, ini antara situasi yang dijangka dihadapi pada setiap tahun.

“Ikutlah sunnah jangan membazir. Beli makanan sekadar cukup untuk berbuka puasa dan bawa bekas sendiri ketika bungkus makanan supaya penggunaan pembungkus makanan dapat dikurangkan,” katanya.

Artikel Berkaitan: