Singapura longgar sekatan Covid-19 bermula Selasa depan

Penggunaan pelitup muka di tempat terbuka tidak lagi diwajibkan di Singapura walaupun pemakaiannya masih digalakkan. - Foto AFP
Penggunaan pelitup muka di tempat terbuka tidak lagi diwajibkan di Singapura walaupun pemakaiannya masih digalakkan. - Foto AFP
A
A
A

SINGAPURA - Singapura akan melonggarkan sekatan bermula Selasa depan menerusi pengumuman dibuat Perdana Menteri, Lee Hsien Loong pada Khamis yang menyifatkan ia sebagai pencapaian utama kepada negara itu untuk belajar hidup dengan Covid-19.

"Langkah pelonggaran sekatan akan menghubungkan semula Singapura dengan dunia. Ia akan memberi rangsangan kepada perniagaan khususnya sektor pelancongan dan mengembalikan semula kedudukan Singapura sebagai hab perniagaan dan penerbangan.

"Ia telah menjadi pertarungan yang sukar sejak dua tahun lalu. Kita sentiasa berdepan dengan gelombang jangkitan baharu, namun kita cuba menyesuaikan diri dengan situasi tersebut.

"Setiap kali kita menganggap pandemik itu terkawal, ia pasti akan memberi kejutan kepada kita dengan kemunculan varian baharu," katanya menerusi ucapan disiarkan stesen TV.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas kes jangkitan harian telah menurun sejak dua minggu lalu dengan nisbah dari minggu ke minggu kini kira-kira 0.8.

"Pada kadar ini, jumlah jangkitan harian akan berkurangan separuh dalam tempoh kira-kira tiga minggu lagi," jelasnya.

Tambahnya lagi, penularan Omicron yang mencetuskan lonjakan luar biasa sejak beberapa minggu lalu juga telah mula reda dan negara itu kini membina imuniti lebih kuat berikutan kadar vaksinasi yang tinggi selain kes pulih yang terus meningkat.

"Sistem penjagaan kesihatan kita yang berdepan tekanan ketika kemuncak gelombang Omicron juga kekal berdaya tahan.

Artikel Berkaitan:

"Langkah pelonggaran sekatan ini telah diambil secara berhati-hati untuk mengelakkan kakitangan perubatan terpaksa menanggung beban dan membahayakan pesakit Covid-19 dan bukan pesakit yang memerlukan rawatan segera," ujarnya.

Sebagai langkah berjaga-jaga, Hsien Loong menggesa rakyat negara itu untuk mengambil 'semangat dengan cara yang betul'.

"Kembali semula jalani kehidupan normal, tidak lagi perlu memakai pelitup muka di tempat terbuka, berkumpul bersama rakan dengan ahli keluarga dengan jumlah lebih ramai atau bertemu semula dengan insan tersayang di luar negara. Tetapi, jangan terlalu leka," katanya sambil memberi peringatan supaya sentiasa berwaspada. - Agensi


INFO


* Had pertemuan sosial dibenarkan sehingga 10 individu

* Penggunaan pelitup muka di tempat terbuka tidak lagi diwajibkan walaupun pemakaiannya masih digalakkan. Tetapi, masih diwajibkan di tempat tertutup.

* Kumpulan terdiri sehingga 10 individu sudah menerima dos lengkap dibenarkan untuk dine-in.

* Sehingga 75 peratus pekerja dibenarkan kembali semula ke pejabat berbanding 50 peratus sebelum ini.

* Jumlah pengunjung di sebuah acara besar dengan had kapasiti lebih 1,000 individu dinaikkan kepada 75 peratus.

* Acara sosial berskala besar seperti makan malam gala dan majlis korporat dibenarkan dengan 10 individu untuk setiap meja dan melaksanakan penjarakan satu meter antara setiap meja.

* Suntikan penggalak kedua disarankan untuk individu berisiko tinggi termasuk mereka yang berusia 80 tahun ke atas dan yang ditempatkan di pusat jagaan warga emas.

* Pengembara lengkap vaksinasi boleh memasuki Singapura bermula 31 Mac depan. Mereka tidak lagi perlu memohon kebenaran atau menggunakan skim Laluan Bagi Orang Sudah Divaksinasi (VTL). Pelancong asing bagaimanapun masih perlu melakukan ujian pra penerbangan dalam tempoh dua hari sebelum berlepas ke Singapura. Tetapi, tidak lagi perlu menjalani notis duduk di rumah (SHN) atau melakukan ujian pantas antigen (ART) sejurus tiba di negara itu.

* Bermula 29 Mac ini, ujian rutin Covid-19 untuk semua sektor akan dihentikan.