Zuraida 'kunci mulut' dakwaan keluar Bersatu bulan depan

Zuraida (tengah) pada sidang akhbar Majlis Pecah Tanah Pembangunan Ladang Koko Pintar di Bukit Gangis, Setul di Seremban.
Zuraida (tengah) pada sidang akhbar Majlis Pecah Tanah Pembangunan Ladang Koko Pintar di Bukit Gangis, Setul di Seremban.
A
A
A

SEREMBAN - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Zuraida Kamaruddin memilih untuk 'kunci mulut' berhubung dakwaan akan keluar dari parti itu bulan depan.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, tidak tahu mengenai perkara itu ketika ditanya pemberita seperti dakwaan yang dilaporkan oleh sebuah portal.

"Itu dia cakap (portal). Saya tak tahu," katanya ringkas kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Ladang Koko Pintar di Bukit Gangis, Setul di sini pada Khamis.

Beliau yang merupakan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi sebelum itu dilihat cuba mengelak menjawab soalan berkaitan politik dan memberitahu majlis diadakan berkaitan ladang koko.

Malah ketika ditanya kenapa memilih untuk mendiamkan diri berkenaan dengan isu itu, beliau hanya memberitahu untuk terus diam.

Memetik laporan portal Free Malaysia Today sebelum ini, Zuraida dijangka keluar Bersatu pada April ini dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurut sumber, Zuraida berkongsi rancangannya itu dengan pimpinan PBM baru-baru ini.

Tindakan Zuraida keluar parti April depan mengambil kira jangkaan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti ketika itu.

Artikel Berkaitan:

Desas desus yang Zuraida dikatakan akan keluar dari Bersatu dan menyertai PBM bukan perkara baharu.

Bagaimana pun sehingga sekarang beliau dilihat enggan memberi kenyataan berhubung dakwaan itu.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mengesahkan yang Zuraida masih MPT Bersatu dan Setiausaha Agung PBM, Nur Hizwan Ahmad juga mengesahkan yang nama Zuraida tiada dalam senarai keahlian parti itu.

Menerusi laporan Astro Awani, Zuraida berkata, pada masa ini mahu menstabilkan ekonomi negara dan bukan memikirkan hala tuju politik.

Katanya, fokus sekarang ialah menyelesaikan amanah di peringkat kementerian bagi membantu meningkatkan pendapatan negara.