UMNO yakin tawan Selangor, kajian PH pula sebaliknya

Izham Hashim
Izham Hashim
A
A
A

SHAH ALAM - Walaupun UMNO berkeyakinan boleh menawan semula Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang, namun kajian Pakatan Harapan (PH) menunjukkan sebaliknya.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Ir Izham Hashim berkata, Selangor tidak boleh dibandingkan dengan Melaka dan Johor kerana senario politik di dua negeri berkenaan berbeza.

"Kajian yang kami (PH) buat mendapati keadaan agak berbeza di negeri Selangor di mana kerajaan PH telah mentadbir negeri Selangor selama tiga penggal dengan baik dan bersih.

"'Track record' pentadbiran kerajaan negeri yang baik dan berintegriti serta stabil ini telah membawa manfaat kepada seluruh rakyat dan negeri Selangor.

"Ini perbezaan yang besar Selangor berbanding Johor dan Melaka dan agak sukar untuk UMNO dan BN untuk kembali menguasai negeri Selangor," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Isnin lalu, UMNO Selangor menyatakan keyakinan parti itu bahawa rakyat negeri itu akan kembali mengundi BN pada PRU15 berikutan kemenangan dalam siri PRK yang diadakan sebelum ini.

Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dilaporkan berkata, trend tersebut boleh dilihat setelah BN berjaya memenangi PRN di beberapa negeri terutama pada PRN Johor dan Melaka.

Mengulas lanjut, Izham berkata, sebenarnya kemenangan UMNO dan BN dalam PRN di Melaka dan Johor bukan disebabkan oleh gelombang rakyat yang kembali menyokong mereka sebaliknya mendapat manfaat daripada perpecahan pembangkang.

Artikel Berkaitan:

"Ini dibuktikan oleh peningkatan undi popular yang sangat rendah kepada UMNO dan BN dalam kedua-dua PRN tersebut.

"Apa yang berlaku ialah perpecahan undi di kalangan pembangkang terutamanya antara PH dan Perikatan Nasional (PN) dan ini dimudaratkan oleh kehadiran pengundi yang rendah," katanya.