CAP bimbang ketepatan kit ujian kendiri

Gambar kecil: Mohideen
Gambar kecil: Mohideen
A
A
A

GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyatakan kebimbangannya berhubung ketepatan keputusan ujian kendiri Covid-19 berikutan berlaku perbezaan antara kaedah ujian air liur dan calitan hidung.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya menerima banyak aduan berhubung isu tersebut yang mana, pengguna berasa bimbang apabila keputusan kedua-dua kaedah tersebut tidak sama.

Menurutnya, perkara itu tidak boleh diambil mudah kerana ia akan meningkatkan jumlah jangkitan kerana mereka yang diuji negatif tidak menjalani kuarantin kendiri sedangkan mereka sebenarnya telah dijangkiti wabak berkenaan.

"Ramai pengguna mengadu keputusan antara kaedah ujian air liur dan calitan hidung yang mereka jalani memberi keputusan bercanggah. Calitan hidung menunjukkan positif namun ujian air liur pula negatif.

"Apa yang membimbangkan adalah jika keputusan ujian kendiri menunjukkan negatif, maka mereka ini beranggapan bahawa gejala yang mereka hadapi bukan gejala Covid-19 dan mereka tidak menjalani kuarantin diri.

"Oleh demikian, ia akan menyebabkan wabak tersebut akan terus disebarkan dalam komuniti," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohideen berkata, tindakan kerajaan menyerahkan tanggungjawab kepada orang ramai untuk melakukan ujian kendiri dilihat tidak berkesan.

"Tindakan kerajaan ini menyebabkan laporan kendiri yang diberikan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) tidak tepat sekali gus memberi kesan kepada pengumpulan statistik. Persoalannya, jika benar kit ujian kendiri itu tidak senstif, mengapa Kementerian Kesihatan meminta masyarakat melakukannya sendiri?

Artikel Berkaitan:

"Jika ujian air liur tidak sensitif seperti calitan hidung, mengapa mereka perlu mendapatkan kit ujian air liur jika ia sememangnya tidak memenuhi tujuan sebenar?," katanya.

Tambahnya lagi, CAP juga bimbang terhadap virus baharu yang mungkin dibawa masuk ke negara ini apabila sempadan dibuka nanti.

"Jika kit ujian yang dijual di pasaran tidak cukup sensitif untuk mengenal pasti pelancong yang dijangkiti dan menghalang mereka daripada masuk ke negara ini, maka ia akan memburukkan lagi keadaan.

"Ini yang kita bimbang dan berharap kerajaan mempunyai solusi lain untuk menanganinya," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!