Jangan buat provokasi terhadap Harimau Malaya: Takiyuddin

Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Orang awam ditegah daripada melakukan provokasi atau mengambil tindakan sendiri termasuk menembak Harimau Malaya sekiranya haiwan itu dilihat memasuki kampung atau kawasan penempatan awam.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, larangan tersebut bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku seperti serangan luar kawalan haiwan itu.

“Sekiranya Harimau Malaya dilihat memasuki kampung, orang ramai perlu berada di tempat selamat atau segera menghubungi pihak berkuasa.

"Jangan lakukan sebarang provokasi atau tindakan sendiri seperti cubaan mendekati atau menghalau, apatah lagi membaling objek, menembak atau membunuh bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

"Keperihatinan dan kesedaran orang awam terhadap spesies hidupan liar yang dilindungi seperti Harimau Malaya adalah sangat penting bagi memastikan kelangsungan hidupnya," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Wan Hassan Mohd Ramli (Pas-Dungun) apakah yang rakyat perlu lakukan sekiranya berlakunya situasi harimau masuk ke kampung dan kawasan penempatan awam.

Dalam pada itu beliau turut berharap konflik manusia dan Harimau Malaya dapat ditangani dengan baik tanpa menjejaskan keselamatan manusia sekali gus dapat mengekalkan spesies ikon negara itu.

Sementara itu bagi menjawab soalan asal Wan Hassan mengenai langkah segera kementerian dalam menangani konflik antara manusia dengan hidupan liar khususnya harimau di Dungun, Takiyuddin berkata, lima orang kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Daerah Dungun telah ditempatkan yang turut dibantu 13 orang Renjer Hidupan Liar.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, dua unit perangkap kamera turut dipasang bagi memantau kehadiran Harimau Malaya di sekitar kawasan Bukit Bauk yang juga merupakan antara kawasan tumpuan rekreasi orang awam.

“Kita juga telah menambah 20 unit lagi perangkap kamera di kawasan sekitar sebagai langkah pemantauan jangka panjang,” katanya.