Nilai semula MoU, tidak perlu tunggu Julai

Hantaran Mohamad di Facebook yang meminta kerajaan menilai semula MoU dengan pembangkang.
Hantaran Mohamad di Facebook yang meminta kerajaan menilai semula MoU dengan pembangkang.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu bergerak ke hadapan tanpa perlu menunggu Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai sebelum ini mencapai tempoh matang pada Julai depan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, mungkin sudah tiba masa untuk kerajaan berbuat demikian selepas ahli Parlimen pembangkang menolak usul kerajaan dalam sidang Dewan Rakyat.

Menurutnya, kerajaan yang terbentuk, bertahan dan berfungsi menggunakan mekanisme MoU adalah sangat berisiko.

“Apa lagi bila Pakatan Harapan (PH) sebenarnya adalah pihak yang tidak boleh dipercayai dan memang dah jadi kebiasaan mereka untuk memungkiri janji.

“Sesi Parlimen petang semalam terbukti mereka tidak teragak-agak untuk melanggar pendirian dan janji mereka.

“Saya percaya, semua ini memberi tamparan hebat kepada kerajaan dan suatu peristiwa yang sangat memalukan. Ia secara langsung mewajarkan kerajaan untuk menilai semula kedudukan kerjasamanya dengan PH,” katanya di Facebook, pada Khamis.

Pada Rabu dalam sidang Dewan Rakyat, kerajaan gagal mendapat sokongan untuk meluluskan usul melanjutkan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) berkenaan tahanan selama 28 hari tanpa perbicaraan.

Undi belah bahagi yang dijalankan menyaksikan 84 ahli Parlimen bersetuju berbanding 86 tidak bersetuju manakala seramai 50 orang tidak hadir.

Artikel Berkaitan:

Kata Mohamad, kegagalan usul itu adalah sesuatu yang tidak dijangka dan berkemungkinan berlaku kerana masing-masing beranggapan sudah wujud persefahaman antara kerajaan dan pembangkang menerusi MoU.

“Semua yang berlaku ini menunjukkan dengan jelas bahawa kerjasama dan persefahaman kerajaan dan pembangkang sebenarnya sangat sukar untuk diuruskan dengan berkesan.

“Adalah tidak keterlaluan untuk mengambil pendirian bahawa persefahaman tersebut sebenarnya telah gagal berfungsi seperti yang diharapkan,” kata beliau.