Tiga lagi mangsa gempa Lombok pulang esok

Gempa bumi Ahad lepas menyaksikan dua rakyat Malaysia terbunuh, manakala tujuh tercedera dengan empat daripadanya menerima rawatan di hospital, dan 13 orang lagi terselamat.
A
A

LOMBOK - Tiga rakyat Malaysia yang kini dirawat di sebuah hospital di Lombok setelah terlibat dalam kejadian gempa bumi di sini Ahad lepas akan dibenarkan pulang esok.

Mereka ialah Phua Poh Guat yang akan menaiki penerbangan Garuda dan dijangka tiba di Sepang pada 5.10 petang esok; serta Wong Siew Lim dan Lee Chai Beng yang dijangka tiba dengan penerbangan Air Asia pada jam 11.30 malam.

Pengarah Rumah Sakit Umum Daerah Nusa Tenggara Barat, Dr Lalu Hamzi Fikri berkata, mangsa yang terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki itu dianggap ‘fit to fly’ oleh pakar perubatan setelah menjalani pembedahan Isnin lepas.

“Kami dah lakukan pertemuan dengan tim doktor dan wakil kedutaan. Perkembangan pesakit dan rencana pesakit untuk selanjutnya dan pertemuan terakhir itu ialah pesakit perlu stabil untuk transfusi darah dan tentunya secara klinis jika dah stabil boleh kita pulangkan,” kata Dr Lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Percutian bertukar tragedi, nampak rakan dihempap batu

Bercakap kepada Bernama News Channel (saluran Astro 502) di sini hari ini, beliau berkata, seorang lagi rakyat Malaysia, Shen Pek Chun belum dibenarkan pulang kerana terdapat proses klinikal dan insurans yang perlu dijalani.

Shen dilapor akan terus ke Singapura bagi menyambung rawatan di sana.

Gempa bumi Ahad lepas menyaksikan dua rakyat Malaysia terbunuh, manakala tujuh tercedera dengan empat daripadanya menerima rawatan di hospital, dan 13 orang lagi terselamat.

Kesemua 22 warga Malaysia itu berada di Air Terjun Tiu Kelep Senaru ketika gempa berukuran 5.8 pada skala Richter menggegarkan Lombok Timur, Nusa Tenggara Barat, Indonesia.

Ketua Pegawai Operasi Global Peace Malaysia (GPM) Syahrir Azfar Saleh bersama dua aktivis kemanusiaan badan kemanusiaan itu dan wartawan BNC, Zanariah Nor Zin berada di sini bagi misi kemanusiaan #peduligempalombok.

Syahrir berkata, rombongan kemanusiaan kali ini yang bertujuan menyantuni mangsa gempa bumi juga adalah atas jemputan rasmi Ketua Daerah atau Bupati Lombok Utara, Dr Najmul Akhyar memandangkan GPM banyak menyalurkan bantuan kepada masyarakat di kawasan itu sejak gempa bumi besar yang berlaku Julai tahun lepas. - Bernama