Telefon pintar punca ketagihan internet?

Penggunaan telefon pintar di sekolah dikhuatiri mengundang lebih banyak masalah di kemudian hari termasuk kebimbangan berlakunya ketagihan internet dalam kalangan murid. - Foto123rf
Penggunaan telefon pintar di sekolah dikhuatiri mengundang lebih banyak masalah di kemudian hari termasuk kebimbangan berlakunya ketagihan internet dalam kalangan murid. - Foto123rf
A
A
A

TELEFON pintar sudah menjadi keperluan penting dalam kalangan masyarakat hari ini kerana banyak memudahkan urusan harian seperti perniagaan, kewangan, pembelajaran, malah dalam urusan tempahan makanan dan minuman.

Dengan kelajuan capaian internet terutama di bandar besar meningkatkan penggunaan telefon pintar bagi segenap lapisan masyarakat tanpa mengira batasan umur, pekerjaan mahupun taraf sosial.

Kemunculan pelbagai aplikasi dan permainan dalam talian, laman media sosial, portal jual beli dan perkhidmatan penstriman mula mempengaruhi gaya hidup masyarakat terutama golongan remaja. Sedar atau tidak, ia turut menyebabkan berlakunya ketagihan internet yang boleh menyumbang kepada gangguan psikologi, masalah kesihatan, kemurungan, komunikasi dan interaksi sosial.

Menurut Laporan Eksekutif Dapatan Kajian Tanda Aras Tahap Keselamatan Siber Dalam Kalangan Murid Sekolah dan Ibu Bapa 2021/2022 yang dikeluarkan Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), terdapat beberapa tanda menunjukkan seseorang itu mengalami masalah ketagihan internet. Antaranya ialah marah apabila tidak dibenarkan menggunakan telefon pintar dan tidur lewat kerana leka melayari internet di telefon pintar.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa sebelum ini berkata, kadar ketagihan internet di Malaysia ketika ini tinggi berbanding kebanyakan negara-negara lain.

Kajian mendapati ketagihan internet berlaku disebabkan tahap kesedaran yang rendah dalam kalangan ibu bapa dan boleh mengundang risiko keselamatan siber terhadap generasi muda.

Kajian Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) terhadap 2,007 responden dari seluruh negara juga mendapati lebih 60 peratus golongan belia berusia 18 hingga 25 tahun di Malaysia dikesan menghabiskan masa lebih lima jam sehari untuk melayari internet, terutama bahan berunsur hiburan.

Kajian turut menunjukkan majoriti mereka menghabiskan masa dengan WhatsApp dan Facebook sehingga berisiko mengalami simptom keresahan berpunca daripada ketagihan Laman Rangkaian Sosial (SNS).

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan kesemua hasil kajian yang dijalankan itu menunjukkan bahawa penggunaan telefon pintar menyumbang kepada masalah ketagihan internet dalam kalangan remaja di negara ini dan akan terus meningkat sekiranya tiada kawalan daripada diri sendiri, ibu bapa dan pihak berwajib.

Oleh kerana itu, masih ramai golongan ibu bapa yang skeptikal mengenai kebenaran membawa telefon pintar ke sekolah untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran (PdP) atau aspek keselamatan bagi memudahkan pemantauan keberadaan anak masing-masing. Penggunaan telefon pintar di sekolah dikhuatiri mengundang lebih banyak masalah di kemudian hari termasuk kebimbangan berlakunya ketagihan internet dalam kalangan murid dan gangguan ketika proses PdP sekiranya tiada kawalan dibuat.

Dalam pada itu, terdapat juga barisan pendidik dan ibu bapa yang berpendapat sudah tiba masanya membenarkan pelajar membawa peranti pintar ke bilik darjah tetapi perlu ada peraturan untuk mengelakkan kebenaran tersebut disalahgunakan.

Mahu atau tidak, lambat laun penggunaan telefon bimbit di sekolah perlu dilaksanakan kerana tuntutan PdP berasaskan teknologi digital yang akan menjadi sebahagian elemen penting dalam institusi pendidikan di masa akan datang.

Penulis juga berpendapat sudah tiba masanya semua pihak mencari solusi, garis panduan konkrit, kaedah pelaksanaan dan kawalan supaya kebenaran menggunakan telefon bimbit di sekolah tidak menimbulkan isu berbangkit atau mendatangkan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan.

Penghujungnya, perkara pokok yang kita semua mahukan ialah melihat anak-anak dapat meneruskan pembelajaran dengan lancar dan tidak tercicir dalam penggunaan teknologi digital, dalam masa sama generasi muda tidak berdepan dengan masalah ketagihan internet pada masa depan.

*Nor Azma Muhamat Laila ialah wartawan Sinar Bestari